Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
11 persatuan polis bersara sertai himpunan anti-Komunis di KL

Sebelas persatuan polis bersara yang berkumpul di Kuala Lumpur pagi ini menyatakan bantahan mereka terhadap apa yang mereka dakwa sebagai kebangkitan semula komunisme di negara ini.

Dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang, acara yang berlangsung di Padang Merbok itu menyaksikan beberapa veteran polis menyampaikan ucapan memprotes komunis dan menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba membangkitkan semula ideologi itu.

Acara bermula kira-kira pukul 9 pagi dan berakhir sekitar pukul 12 tengah hari.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Ismail Che Ros berkata insiden tertentu yang berlaku pada tahun ini bukan satu kebetulan tetapi menunjukkan kepada usaha membangkitkan semula ideologi komunis.

"Tiga puluh tahun telah berlalu dan kami tidak mendengar apa-apa ancaman (komunis) tetapi bermula pada September, tindakan pertama mereka (bekas ahli komunis) telah membawa masuk abu mayat (bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya) Chin Peng ke negara ini tanpa persetujuan daripada mana-mana pihak.

"Kemudian, mereka memaparkan sepanduk dan gambar Chin Peng ... selepas itu, (ada insiden) bendera kebangsaan yang dipaparkan terbalik ... apakah ini kebetulan? Atau adakah ia berlaku dengan tujuan?" katanya dalam ucapannya.

Ismail juga berkata perhimpunan bekas anggota PKM awal bulan ini mendedahkan hasrat mereka untuk memulihkan ideologi komunis.

"Dua perhimpunan, satu di Sepang dan satu lagi di Kajang, turut dihadiri oleh ahli politik, NGO, dan ahli akademik, di mana ucapan mereka disuarakan dengan unsur-unsur komunisme," katanya.

Ismail mengingatkan kerajaan berhati-hati dan menghalang kebangkitan semula PKM.

"Kepada kerajaan baru, kami mendesak mereka supaya tidak mengambil ringan perkara ini. Mereka mesti berhati-hati dan memastikan bahawa PKM tidak mendapat kuasa," katanya.

Dalam sidang media kemudiannya, Ismail berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai penyebaran komunisme di negara ini, beliau tidak pasti siapa dalang di sebaliknya.

"Kalau nak wujudkan semula mesti melalui proses undang-undan yang mana urus kuasa di bawah ROS (Pejabat Pendaftar Pertubuhan). Kami yakin tak ada kemungkinan PKM akan diluluskan jika mereka buat permohonan.

"Tulang belakang yang menggerakkan (usaha) ini sebenarnya pada pihak kami tidak begitu jelas, tentu sekali SB (polis Cawangan Khas) mengetahuinya.

Bekas ketua polis negara, Hanif Omar turut hadir perhimpunan itu dan dilihat menangis sebelum menyampaikan ucapannya.

"Hampir semua orang dalam masyarakat telah melupakan apa yang telah kami lalui ... kami adalah pejuang pertama di dunia yang benar-benar mengalahkan revolusi komunis dan kami melakukannya dua kali, ini kerana semangat kami," katanya.

 

Hanif turut mengimbas kejadian yang menurutnya di mana komunis telah membunuh tiga bapa saudaranya, selain menyeksa ramai orang yang dikenalinya di Teluk Intan, Perak.

"Siapa pemimpin mereka? Chin Peng," katanya.

Kemudian, dalam sidang media, apabila ditanya perbezaan antara komunis dan British, Hanif berkata British dijemput oleh pemerintah Melayu untuk membangunkan negeri-negeri Melayu.

"British, banyak orang tak tahu, ingat kolonialis di Tanah Melayu. Tak ada. British ini dijemput oleh raja-raja Melayu untuk memajukan negeri-negeri Melayu.

"Saya rasa semua negeri Melayu macam itu, melainkan Johor. Johor pasal raja dia yang bagi Singapura kepada British, dia sendir nak tengok bagaimana British membangunkan Singapura dan tak payah dia membawa tenaga dari China untuk membangunkan Johor

"(Bekas perdana menteri) Tunku Abdul Rahman dia bukan terus pergi London (untuk bincang kemerdekaan), dia pergi jumpa dengan raja-raja Melayu, (untuk minta) bolehkah berunding dengan British supaya mereka berundur...Raja-raja Melayu restui," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS