Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peniaga rugi ditipu RM49k oleh sykt pemberi pinjaman tak wujud

Hasrat seorang peniaga mahu memperbesarkan perniagaannya tidak kesampaian apabila diperdaya RM49,500 oleh syarikat pemberi pinjaman wang yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa difahamkan menerima panggilan telefon daripada suspek sekitar pertengahan November yang mempromosikan tawaran pinjaman kewangan oleh sebuah ‘syarikat’ yang kononnya beralamat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata suspek dikatakan berjaya menyakinkan mangsa bahawa mereka adalah syarikat berlesen dan mempunyai kadar faedah yang rendah menyebabkan mangsa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000.

“Mangsa mendakwa telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1,660 secara dalam talian ke akaun yang diberikan suspek kononnya sebagai tanda setuju membuat pinjaman pada 15 Nov lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi suspek selang beberapa hari kemudian, bagi menyatakan pinjaman itu telah diluluskan namun mangsa perlu membuat bayaran pemprosesan sebelum wang dapat dikeluarkan.

Mangsa juga mendakwa telah menjelaskan pelbagai lagi bayaran yang diminta suspek secara berperingkat ke dalam pelbagai akaun bank berbeza, yang akhirnya mencecah RM49,500 menyebabkan dia mula berasa curiga dengan suspek.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS