Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman dakwa Zahid halang prosiding disiplin ke atas Hisham
Diterbitkan:  Dec 26, 2019 6:08 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa bahawa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi adalah individu yang menghalang prosiding disiplin terhadap anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, yang dijalankan hari ini.

Mengulas keputusan Mohamed Apandi Ali untuk meletakkan jawatannya sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno susulan penangguhan prosding hari ini, beliau berkata terdapat "sesuatu yang tidak kena".

Dia memuji Apandi sebagai seorang berprinsip.

“Lembaga Disiplin Umno sepatutnya adalah sebuah badan bebas yang tidak boleh disekat daripada menyiasat sesiapa sahaja tanpa dihalang termasuk oleh presiden parti.

“Tindakan presiden Umno ini jelas bercanggah dengan perlembagaan parti dan menghina kedudukan pengerusi dan lembaga disiplin parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lokman mendakwa ini adalah tindakan tatatertib kali ketiga terhadap Hishammuddin yang tidak menjadi kenyataan, di sebalik apa yang didakwanya sebagai peranan bekas naib presiden parti itu yang cuba menggerakan pembelotan ahli parlimen Umno kepada Bersatu.

“Jika Umno serius ingin menggantikan kerajaan Pakatan Harapan, Umno perlu melahirkan lebih ramai pemimpin yang mempunyai sikap terpuji sebegini.

“Kita tidak perlukan pemimpin yang cuba menutup kes mereka yang melanggar disiplin parti,” katanya.

Beliau menambah bahawa justifikasi untuk tidak meneruskan tindakan disiplin terhadap Hishammuddin tidak dapat diterima.

“Inilah masa yang paling sesuai untuk mengambil tindakan kepada mereka yang mahu mengkhianat perjuangan suci ini dan harapan rakyat Malaysia.

“Sebarang langkah untuk menyapu kes Hishammuddin di bawah karpet atas alasan mahu memastikan ahli parlimen Umno kekal bersama dan untuk membuat keputusan secara en-block jelas membuktikan bahawa ada perundingan sedang berlaku untuk membentuk kerjasama dengan Bersatu.

“Apa sudah jadi dengan janji tidak mahu mewujudkan kerajaan pintu belakang?” soalnya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ahmad Zahid untuk ulasannya mengenai dakwaan campur tangan itu.

Hishammuddin pada 13 Disember lalu diberikan surat tunjuk sebab dan dikehendaki hadir di hadapan lembaga disiplin parti hari ini. Walau bagaimanapun prosiding itu tidak menjadi kenyataan.

Ia susulan tindakannya yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, 18 Nov lalu. Turut menyertai pertemuan tersebut ialah 21 ahli parlimen Umno yang lain.

Berikutan perjumpaan berkenaan, Lokman mendakwa Hishammuddin cuba menggerakkan sokongan anggota parlimen Umno kepada Azmin.

Lokman juga mendedahkan bahawa beliau telah membuat aduan terhadap Hishammuddin pada 30 Oktober lalu dan menggesa parti bertindak. Katanya, bekas naib presiden parti itu bertanggungjawab mengatur supaya ahli parlimen Umno melompat menyertai Bersatu.

Ketika itu spekulasi bertiup kencang bahawa Hishammuddin dan Azmin bekerjasama untuk mengumpulkan bilangan ahli parlimen yang mencukupi untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad dapat kekal sebagai perdana menteri dan menggagalkan usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya.

Ini walau bagaimanapun dinafikan oleh Hishammuddin.

Lihat Komen
ADS