T'ganu agih RM10 juta bantuan awal persekolahan
Bantuan awal persekolahan bernilai RM10 juta kepada lebih 80,000 penerima di seluruh Terengganu dijangka selesai diagihkan sebelum 31 Dis ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau berkata bantuan daripada kerajaan negeri itu telah disampaikan secara berperingkat di semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak bulan lepas.
"Bantuan diberi kepada keluarga berpendapatan rendah (terhad dua anak setiap keluarga), kita harap bantuan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa terlibat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan musim tengkujuh kepada 525 penerima di DUN Rhu Rendang di Marang, hari ini.
Bantuan bernilai RM50,000 itu diberi kepada golongan yang pendapatan terjejas sepanjang musim tengkujuh seperti nelayan, penoreh getah dan pekebun kecil.
Ahmad Samsuri berkata bantuan untuk penduduk yang terjejas banjir pula akan dimuktamadkan selepas menerima laporan penuh banjir, dijangka pada Februari depan.
"Jadi sementara itu, wakil rakyat di setiap kawasan akan menyalurkan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas ...seperti barang dapur," katanya.
- Bernama

