Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dibidas di Dewan rakyat hari ini kerana didakwa menjalankan tugas seperti ahli politik dan bukannya penjawat awam.

Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) berkata ketua pengarah berkenaan lebih suka mencari publisiti bersama media dan menceritakan kelemahan jabatannya daripada memikirkan cara untuk meningkatkan fungsi jabatan itu terutama dalam mengutip cukai yang memberi hasil kepada kerajaan.

"Sebagai seorang ketua jabatan, beliau sepatutnya menyedari bahawa dirinya seorang penjawat awam dan bukannya ahli politik," katanya ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2005 pada persidangan Dewan Rakyat.

Menurut laporan Bernama, rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang membabitkan tambahan kira-kira RM10.8 bilion bagi perbelanjaan yang tidak diperuntukkan atau terkurang diperuntukkan dalam Bajet 2005

Tanpa menyebut nama pegawai berkenaan, Mohd Said mendakwa perolehan cukai jabatan itu menurun secara mendadak sejak Ketua Pengarah itu mengambil alih tugas di jabatan berkenaan.

"Untuk tempoh Januari hingga April lepas, KDRM hanya berjaya mengutip RM6 juta berbanding RM8 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. Ia jelas menunjukkan pengurangan perolehan sebanyak RM2 juta," katanya.

Mohd Said berkata sebagai seorang penjawat awam, beliau tidak sepatutnya mendedahkan kepada media mengenai pertukaran kakitangan jabatan berkenaan atas sebab-sebab tertentu kerana ia secara tidak langsung boleh menjatuhkan moral kakitangan bawahan.