Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

NGO Ummah merancang untuk menganjurkan satu perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur pada Mac tahun depan dan menjemput bekas Ketua Polis Negara Hanif Omar, berkongsi pentas yang sama.

Timbalan Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa memberitahu Malaysiakini bahawa satu mesyuarat diadakan semalam, melibatkan tokoh terkemuka termasuk Hanif dan seorang lagi bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan untuk membincangkan mengenai perhimpunan tersebut.

"Semalam, kita dah putuskan untuk buat kolaborasi dengan 1,000 lebih NGO.

"Tema (kami) Gerakan Pertahan Kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Tapi sub-tema - pertahankan Jawi, pertahankan Bahasa Melayu, pertahankan keharmonian negara, dan fokus kepada isu-isu keselamatan negara seperti agenda hidupkan semula komunis yang dibuat oleh Dong Zong," katanya.

Beliau berkata setakat ini mereka masih belum menetapkan tarikh tetapi merancang untuk mengadakan perhimpunan itu pada awal Mac.

Sementara itu, ketika dihubungi untuk mendapatkan pengesahan, Hanif berkata penyertaan beliau adalah untuk mempertahankan kedaulatan perlembagaan persekutuan.

"Tiapa-apa yang pasti selain tujuan mempertahankan kedaulatan perlembagaan persekutuan. 

"Saya dan beberapa kumpulan akan mengkaji perkara-perkara lain, "katanya dalam jawapan Whatsapp kepada Malaysiakini.

Mohd Zai (gambar bawah) menjelaskan objektif perhimpunan itu adalah untuk menyampaikan mesej kepada Dong Zong dan persatuan lain untuk tidak membangkitkan isu-isu sensitif di negara ini.

 "Dia (Dong Zong) boleh bantah Jawi tapi dia boleh terus komunikasi dengan kementerian (pendidikan), dia ada saluran bagaimana nak berunding.

"Patut dia jumpa kementerian dan bincang elok-elok. Tapi kalau dia bantah secara open, dia bukan saja timbulkan persepsi yang negatif, tapi secara jelas menolak polisi dan dasar kementerian tu sendiri.

"900 SJKC yang menolak Jawi, kalau macam tu, ia tak berhak dapat peruntukan dari kementerian pendidikan sebab ia dah tolak polisi dan dasar kementerian," katanya.

Semalam, Dong Zong mendakwa berjaya mengumpulkan tandatangan lebih 900 daripada 1,298 sekolah rendah Cina yang membantah pengajaran tulisan Jawi bagi murid-murid Tahun Empat.

Mengulas mengenai peranan Hanif dalam perhimpunan tersebut, Mohd Zai berkata bekas ketua polis negara itu dilantik mengetuai jawatankuasa bagi perhimpunan tersebut selepas dicadangkan NGO berkenaan.

"Kita mencadangkan dia kerana dia lebih fokus pada isu-isu. Dia buat perhimpunan di Padang Merbok, dia sangat sensitif dengan isu komunis. Jadi dia lebih fokus supaya isu ini tak ditimbulkan lagi. Dah tutup fail, full stop. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba buka balik fail tu.

Hanif, dalam ucapan baru-baru ini, mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas adalah rakan baik kepada pemimpin komunis Chin peng.

Beliau juga mempersoalkan sama ada Tommy akan mendakwa pihak yang melanggar Perjanjian Hat Yai 1989.

Mohd Zai berkata, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dilantik untuk memberikan penerangan di setiap negeri bagi mengumpulkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan itu.

"Kita akan buat perhimpunan di negeri-negeri. Beberapa pemimpin akan bergilir-gilir hadir. Ada juga NGO-NGO bahasa," katanya.

Ketika dihubungi, Timbalan Presiden Gamis Zofrie Zulhilmi mengesahkan mereka akan ke setiap setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak untuk menggerakkan sokongan.

"Kami telah mengadakan mesyuarat hari ini dengan Ummah dan bersetuju melakukan jelajah. Kami akan mengumpulkan seberapa ramai pelajar untuk mencipta gelombang," kata Zofrie.

Mohd Zai berkata setakat ini, tidak ada rancangan untuk membolehkan ahli-ahli politik berkongsi pentas tetapi mereka dialu-alukan untuk hadir dan menyokong perhimpunan tersebut.

Lihat Komen
ADS