Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Sabah mahu tulisan Jawi diajar sebagai satu subjek pilihan dan bukannya termasuk dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu.

Perkara itu disahkan oleh salah seorang setiausaha politik Ketua Menteri Shafie Apdal, Jo-Anna Sue Henley Rampas.

"Kabinet Sabah membincangkan dengan teliti dan mahu Jawi menjadi pilihan di Sabah," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sabah Ewon Benedick berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.

"Kabinet negeri dalam satu mesyuarat baru-baru ini, memutuskan Jawi patut dijadikan subjek pilihan dan tidak termasuk dalam silibus subjek Bahasa Melayu.

“Pengajarannya hanya disediakan hanya jika pelajar mahu mempelajarinya,” katanya seperti dipetik FMT.

Pada masa ini, pengenalan tulisan Jawi dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Tahun Empat.

Ia diwajibkan di sekolah kebangsaan, tetapi dijadikanpilihan untuk sekolah vernakular, di mana ia akan diputuskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa murid sendiri.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pelajaran untuk mendapatkan respons sama ada keputusan kerajaan Sabah akan dikuatkuasakan.

Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Yusof Yacob sebelum ini dilaporkan berkata bahawa negeri itu tidak mempunyai autonomi penuh dalam pendidikan dan soal mata pelajaran di bawah bidang kuasa persekutuan.

Lihat Komen
ADS