Paling Popular
Terkini

ULASAN | Semua orang menanti kedatangan 2020 sebagai tahun keramat bagi pencapaian sebuah wawasan yang diperkenalkan sejak awal 1990-an.

Wawasan 2020 adalah gambaran kepada sebuah masyarakat yang akan dikenali sebagai Bangsa Malaysia.

Visi itu menjadikan masyarakat majmuk kepada sebuah masyarakat yang merangkul kepelbagaian dengan mengasaskan apa yang disifatkan sebagai masyarakat terbuka dan saling hormat menghormati dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan Negara.

Secara ekonomi, 2020 adalah terlaksananya Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan pendapatan per kapita setara dengan negara maju yang lain.

Detik munculnya 2020 semakin menghampiri. Menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan bermuhasabah untuk bertanya: apakah hasrat besar ini sudah tercapai atau - paling kurang - kita telah menghampirinya?

Sejujurnya, insiden-insiden dalam negara tidak mengisyaratkan bahawa masyarakat kita bersedia sepenuhnya menyambut 2020 dalam kerangka wawasan yang diilhamkan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Kehadiran PH sebagai kerajaan di ambang 2020 - setelah menghampiri untuk tahun kedua pemerintahannya - menuntut kepemimpinannya bekerja lebih keras dan lebih bijaksana.

Cabaran besar kerajaan PH adalah bagaimana ia terpaksa menangani isu kaum dan agama sempit yang menjadi penghalang utama kepada cita-cita Bangsa Malaysia.

Set minda yang baru

Pada waktu yang sama, PH turut tertekan dengan desakan pihak yang mendakwa mengamalkan kebebasan bersuara tetapi mengundang tindak balas negatif kepada golongan yang mempertahankan status quo.

Cabaran 2020 ialah keazaman kepemimpinan negara untuk menangani setiap kumpulan melalui dialog dan meja rundingan. Pemimpin hari ini tidak boleh lagi berada dalam set minda "pelayaran lancar" dan "semuanya beres".

Setiap kelompok memerlukan keyakinan bahawa Malaysia Baru menjamin suara mereka didengari dan penyelesaian nasional boleh dicari secara bersama.

Kerajaan PH perlu bersedia menyambut 2020 dalam keadaan bersiap sedia kepada 'cuaca buruk' dan 'keadaan lebih teruk' daripada apa yang dijangkakan.

Hanya dengan set minda inilah baru pimpinan negara dapat mengharungi cabaran iklim tidak menentu pada 2020. Ia bukan suasana kerja seperti biasa atau bussiness as usual.

Set minda hari ini menuntut kita tidak boleh bersikap simplistik terhadap semua kritikan dengan membawa isu legasi Umno/BN. Tahun 2020 untuk PH ialah menerima kritikan secara terbuka dan membawa kepada solusi di bawah naratif Malaysia Baru.

Di sinilah perdebatannya akan menjadi sangat mencabar, iaitu bagaimana memikirkan cara menyelesaikan masalah yang diwarisi melalu kerangka baru yang menuntut idea yang segar dan mencabar status quo di zon selesa.

Tumpu jayakan WKB 2030

Tahun 2020 adalah kesanggupan kita meyakinkan rakyat mengapa PH berada di tempatnya hari ini. Keluar dari kepompong Umno/BN bukanlah mudah bagi rakyat, dan PH harus menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat.

Meyakinkan rakyat bahawa PH layak menjadi sebuah kerajaan untuk membawa 2020 dan tahun-tahun selepasnnya menuntut kesungguhan menjayakan polisi-polisi baru dari setiap kementerian.

Menteri-menteri PH tidak boleh selesa dengan bussiness as usual. Mereka harus membawa naratif baru, berhujah dengan naratif baru dan menghasilkan natijah yang dapat dirasai oleh rakyat.

Cabaran dari penentang PH bukan perkara baru malah pergelutan menuju tangga kuasa akan menjadikan penentangnya terdesak menggunakan isu perkauman dan agama yang sempit sebagai bahan murahan.

Respon kepada tindakan terdesak penentang PH pula akan melahirkan jalur baru yang akan mengasak kepada keterbukaan yang lebih ekstrem.

Pemimpin PH selayaknya melepasi dan merentasi batasan kelompok ini kerana sebagai kerajaan, kita harus memberi tumpuan untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang membuka landasan kepada semua pihak dalam kerangka negara yang lebih besar.

Bagi menangani kelompok yang menggunakan perkaum dan agama yang sempit, dasar RAHMAH dalam kerangka Rahmatan Lil Alamin perlu terus menguasai rakyat Malaysia.

Cabaran 2020 juga adalah tentang kebangkitan pemikiran ekstrem pada jalur Islamophobia dan Melayuphobia dalam kerangka kebebasan memberi pandangan.

Saya mengucapkan selamat datang 2020 dan sempena tahun baru ini - setelah semua sambutan dan bunga api yang mengindahkan malam tahun baru - saya perlu kembali bersiap sedia menyambut ‘cuaca buruk’ berpanjangan.

Mungkin orang akan mengatakan saya pesimis, tetapi saya menyatakan bahawa kelangsungan PH bermaksud kejayaannya mengharungi cuaca yang tidak menentu ini, dan kemudian keluar sebagai pemenangnya untuk terus memimpin melewati 2020.

Selamat tahun baru 2020.


DR MUJAHID YUSOF ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS