Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng sokong elaun menteri dipotong tapi biar kabinet putuskan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyambut baik cadangan oleh rakannya dalam kabinet untuk mengurangkan elaun menteri dan ahli politik.

"Sebagai menteri kewangan, apa-apa (langkah) penjimatan adalah suatu yang baik, kerana saya adalah menteri kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri aktiviti literasi kewangan di kementeriannya hari ini.

Lim bagaimanapun berkata, bukan beliau yang akan membuat keputusan mengenai cadangan itu kerana ia juga akan memberi kesan kepada menteri-menteri lain.

"Tapi kerana ia melibatkan menteri-menteri lain, saya percaya perkara ni harus diputuskan oleh kabinet. Jadi biar ia ditentukan oleh kabinet, kerana bukan saya yang tentukannya. Saya kena hormati rakan-rakan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mencadangkan kerajaan untuk memotong elaun ahli-ahli politik dan menteri.

Ini berikutan keputusan kontroversi kerajaan memotong Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan doktor,  jururawat, jurutera dan profesional lain yang baru menyertai perkhidmatan awam.

Pandangan Syed Saddiq turut dikongsikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun. 

Lihat Komen
ADS