Malaysiakini
BERITA

Kerajaan dijangka mansuh cubaan bunuh diri sebagai jenayah tahun depan

Diterbitkan

Kerajaan dijangka akan membentangkan pindaan undang-undang bagi memansuhkan percubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah pada pertengahan tahun 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, berkata sebelum memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan kerajaan perlu mencari mekanisme alternatif yang bersesuaian dan berkesan dalam menangani masalah kesihatan mental itu.

"Sepanjang tahun ini, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengadakan sesi urus libat bersama pelbagai pemegang taruh dalam usaha ini termasuk Kementerian Pembangunan

Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, beberapa persatuan psikiatri, Befrienders dan juga persatuan-persatuan agama.

"Sejurus siapnya kajian pihak AGC berkenaan mekanisme alternatif yang sesuai digunakan di negara ini, satu kertas kerja dasar yang turut sedang dirangka pada masa ini akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk kelulusan.

"Sekiranya lulus, pindaan kepada kanun keseksaan bagi memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah di Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 21 Okt lalu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan cubaan bunuh diri,

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan cubaan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Dr Dzulkefly Ahmad (menteri kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

Sementara itu, Liew berkata, melihat kepada perkembangan kajian yang sedang dijalankan AGC, beliau berharap pindaan itu dapat dibawa ke Dewan Rakyat tahun hadapan.

"Meneliti perkembangan pihak AGC pada masa ini, saya berharap dapat membentangkan pindaan ini di Dewan Rakyat secepat pertengahan tahun 2020," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.