Presiden MCA Wee Ka Siong secara sinis menawarkan untuk memberi nombor telefon Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sindiran Wee itu hadir selepas Lim secara terbuka mengkritik tindakan polis menghalang Kongres Organisasi Cina yang dianjurkan Dong Jiao Zong bagi membincangkan isu jawi dan pada masa sama membenarkan Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan dua bulan lepas.

"Tak ada nombor telefon Muhyiddin? Kalau mahu, saya boleh bagi.

"Ingat, jika berada di luar negara, aktifkan fungsi roaming, bayaran hanya RM38 sehari. Sekadar peringatan mesra," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Lim menyuarakan kekecewaan DAP dengan tindakan polis terhadap

"Sekiranya dalam Malaysia baru, kita percaya kepada kebebasan bersuara, tidak ada sebab mengapa perhimpunan ini dihalang.

"Contohnya bila Kongres Maruah Melayu dibenarkan maka ini (Kongres Organisasi Cina) pun harus dibenarkan.

"Mungkin ada pihak yang tidak setuju dengan pandangan dikeluarkan tapi itu adalah salah satu aspek Malaysia baru," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program literasi kewangan hari ini.

Beliau berkata perkembangan terbaru mengenai pembelajaran Jawi di sekolah vernakular, termasuk tindakan pihak polis, akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Jumaat lepas, polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Dong Jiao Zong daripada menganjurkan Kongres Organisasi Cina yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu, atas sebab ia dibimbangi menyebabkan kekacauan.