Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amanah gerakkan jentera pastikan Warisan menang di Kimanis

Jentera parti Amanah akan turun padang membantu kempen calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis 18 Jan depan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata jentera parti itu akan digerakkan mulai hari penamaan calon dan akan bersama-sama jentera parti komponen PH yang lain.

“Saya sendiri akan turun padang pada hari penamaan calon sebagai tanda sokongan terhadap calon Warisan yang bertanding pada PRK itu.

“…dan saya juga akan menggerakkan jentera Amanah di kawasan saya iaitu Parlimen Kota Raja untuk turut terlibat sepanjang kempen pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di kawasan Kota Raja di Kelang, Selangor hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Kota Raja berkata, dengan kerja keras daripada jentera semua parti komponen PH, beliau yakin parti Warisan akan dapat memenangi kerusi parlimen itu yang mana sebelum ini dimenangi BN.

Pada 16 Dis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis diadakan pada 18 Jan, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan. Pengundian awal dilaksanakan pada 14 Jan.

PRK Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan kemenangan Anifah sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya akan melancarkan pasar peduli rakyat sebagai inisiatif membantu masyarakat di kawasan parlimen itu mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga yang murah.

“Saya telah merancang untuk membuka pasar ini sebulan sekali di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kota Raja dan ia mungkin bermula akhir Januari atau awal Feb depan.

"Pasar ini akan menjual barangan keperluan asas termasuk beras, minyak, susu, bawang, ayam dan telur dengan harga yang lebih murah berbanding kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata dengan langkah itu ia akan membantu meringankan beban kos hidup masyarakat setempat yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan miskin bandar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS