Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib mohon tangguh saman salah laku dalam jawatan awam
Diterbitkan:  Jan 2, 2020 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk menangguhkan prosiding kes saman yang difailkan ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Tan Cheng Leong mewakili Pua memberitahu pemberita bahawa Najib selaku defendan membuat permohonan itu pada 23 Dis lepas kerana beliau sedang menjalani perbicaraan kes 1MDB yang dihadapinya (di Mahkamah Tinggi Jenayah).

"Pihak defendan (Najib) mahu menunggu kes jenayah (1MDB) selesai sebelum memulakan kes saman sivil ini kerana sekiranya mereka memfailkan pembelaan dalam saman itu ia akan memprejudiskan pembelaan kes jenayah berkenaan.

"Mahkamah menetapkan 6 Jan untuk pengurusan kes selanjutnya berhubung permohonan defendan,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusof yang turut dihadiri peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Najib manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Jan, 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Pua juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, selepas rayuannya ditolak.

Bagaimanapun beliau mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 Nov, 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Mahkamah itu memutuskan Pua boleh meneruskan samannya terhadap Najib dan Kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS