Lebih 5,000 penduduk Orang Asli di beberapa pos di pedalaman Gua Musang terputus hubungan apabila jalan balak yang menjadi jalan utama mereka ke bandar ini rosak dan berlumpur berikutan musim tengkujuh ketika ini.

Jalan balak berkenaan menghubungkan Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Bihai dan Pos Tohoi dan sehubungan itu mereka berharap pihak berwajib segera membaiki dan menaik taraf jalan berkenaan.

Pengerusi Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli Pos Tohoi Zainal Cali, berkata kerosakan jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli di pedalaman tidak pernah selesai dan berlaku setiap kali hujan lebat dan pada musim tengkujuh.

Beliau berkata keadaan itu menimbulkan masalah bukan sahaja kepada penduduk untuk ke bandar bagi membeli barang keperluan tetapi juga ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Katanya masalah paling ketara ketika ini apabila kenderaan pacuan empat roda yang disediakan untuk membawa pelajar anak Orang Asli ke sekolah berdepan bahaya kerana jalan licin dan berlumpur.

"Ibu bapa kadang kala serba salah untuk membenarkan anak mereka ke sekolah menaiki kenderaan disediakan itu kerana risiko kejadian tidak diingini hingga ada kenderaan tersekat dalam lumpur," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Along, 42, daripada Pos Balar, mendakwa sebelum ini kerajaan pernah berjanji untuk membaiki keseluruhan jalan di situ, namun sampai sekarang belum ada tanda-tanda projek berkenaan akan bermula.

Katanya, sebagai penduduk Orang Asli yang tinggal di pedalaman amat memerlukan jalan yang lebih selesa berbanding jalan balak yang selalu rosak terutama musim hujan.

"Sehubungan itu kami merayu kepada kerajaan supaya dapat menaik taraf jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli dengan bandar ini supaya boleh dilalui semua kenderaan tanpa mengira musim hujan atau kemarau," katanya.

-Bernama