Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Pakcik Maszlee' nasihat pelajar: Amanah, rajin, banyak membaca

Kehadiran individu menyarung kostum menyerupai karakter adiwira seperti Deadpool dan Captain America serta maskot kartun Disney mencuri tumpuan pada hari pertama sesi persekolahan di beberapa sekolah di negeri-negeri yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata jumlah keseluruhan murid (sekolah rendah dan sekolah menengah) hari pertama persekolahan di seluruh negara dianggarkan seramai 4,672,419 orang.

Sementara itu, kehadiran menteri pendidikan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa menceriakan hampir 500 murid Tahun Satu hari ini.

Maszlee yang membahasakan dirinya ‘pakcik’ kepada para pelajar dalam ucapannya menasihatkan para pelajar agar memberi fokus kepada budaya membaca, bersikap rajin dan mengamalkan nilai amanah dalam kehidupan.

Di Negeri Sembilan, dua individu menyarung kostum Deadpool dan Captain America menceriakan mood pelajar seawal 6.40 pagi di hadapan pagar SK St Paul di Seremban, bagi menyambut pelajar Tahun Satu.

Guru Besar SK St Paul A Santhanasamy berkata ini merupakan inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengurusan Sekolah untuk meraikan murid terutamanya murid Tahun Satu agar lebih yakin ke sekolah pada hari pertama.

Pekerja swasta, Nor Sharifah Abd Kadir, 35, yang menghantar anak lelaki sulungnya berusia tujuh tahun ke sekolah itu berkata ini merupakan inisiatif terbaik sekolah dalam memberi semangat kepada anak-anak untuk memulakan sesi pertama persekolahan

"Anak saya memang manja, kalau pergi mana-mana mesti nak berteman, tetapi bila ada tumpuan macam ini, sekurang-kurangnya dia boleh lepaskan saya balik, tanpa tangisan dan sebagainya. Saya lihat tadi dia lebih seronok dan tidak kekok ketika dibawa ke kelas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Di Pahang, pasangan badut dan maskot Minnie Mouse menceriakan 164 murid Tahun Satu SK Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing seawal 7 pagi tadi.

Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan pelajar tetapi turut menenangkan beberapa murid yang gemuruh pertama kali memulakan persekolahan hari ini.

Di sebalik solekan tebal badut itu ialah anggota polis, Mohd Anuar Md Akbar, 36, yang berkata ‘tugasan’ sebagai badut itu dibuat secara percuma sejak beberapa tahun lalu sebagai bantuan kecil bagi menceriakan murid sekolah sekitar daerah itu.

“Saya juga mempunyai seorang anak berusia tujuh tahun yang memulakan sesi persekolahan hari ini, jadi saya faham dengan ragam yang terpaksa dilalui guru dan ibu bapa pada hari pertama,” katanya.

Di Perlis, individu berkostum karakter kartun filem Frozen menyambut murid Tahun Satu SK Titi Tinggi dengan perarakan masuk ke karpet merah yang dibentangkan di pintu gerbang sekolah berkenaan.

Guru Besar, Nailmulddin Haron berkata suasana eksklusif seperti anugerah filem itu bukan sahaja menimbulkan kegembiraan bagi murid, malah ibu bapa turut rasa teruja apabila anak mereka disambut dengan meriah oleh pihak pengurusan sekolah.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis yang hadir merasmikan majlis itu berkata, jumlah pendaftaran pelajar baharu sekolah rendah tahun ini meningkat kepada 4,536 berbanding 3,949 tahun lepas dengan jumlah peningkatan sebanyak 597 orang. Pada masa sama jumlah pendaftaran baru Tingkatan Satu sekolah menengah di sini meningkat kepada 3,722 berbanding 3,416 tahun lepas.

Di Putrajaya, seramai 185 murid yang memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) disambut 12 pelajar senior Tahun Dua hingga Tahun Lima yang memakai pakaian bertemakan kerjaya antaranya peguam, penyanyi dan pelumba kereta.

Guru besar sekolah berkenaan Rohana Abd Manaf berkata idea berkenaan dicetuskan bagi memberi motivasi kepada murid baharu untuk ke sekolah serta menjadikan pengalaman hari pertama persekolahan mereka lebih ceria dan menyeronokkan.

Di Pulau Pinang, Pengarah Pendidikan negeri Abdul Rashid Abdul Samad berkata seramai 16,224 murid Tahun Satu mendaftar di 271 sekolah rendah di negeri itu hari ini.

Abdul Rashid berkata SK Pulau Aman merupakan sekolah paling sedikit menerima kemasukan murid Tahun Satu iaitu hanya seorang murid perempuan sahaja.

Di Perak, seramai 31,367 murid Tahun Satu, 36,521 pelajar Tingkatan Satu, selain 14,954 kanak-kanak (prasekolah) memulakan persekolahan di 1,139 sekolah.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata secara keseluruhan jumlah pelajar sekolah rendah di negeri itu adalah 196,703 murid manakala sekolah menengah mencatatkan 203,917 pelajar manakala terdapat 35,663 guru berkhidmat di sekolah seluruh Perak.

Di Melaka, seramai 143,739 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah memulakan sesi persekolahan 2020 di 315 sekolah di seluruh negeri itu bermula hari ini.

Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Datuk Noor Effendi Ahmad berkata daripada jumlah itu 59,643 orang terdiri daripada pelajar sekolah menengah manakala 84,093 orang adalah murid sekolah rendah.

Selangor, seramai 94,244 murid Tahun Satu, 72,629 pelajar Tingkatan Satu serta 10,867 pelajar peralihan memulakan sesi persekolahan baharu di 911 sekolah di seluruh negeri ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah ketika dihubungi berkata perjalanan hari pertama sesi persekolahan tahun 2020 berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS