Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengarahkan anak Mohamad Sabu membela diri atas tuduhan mengambil dadah.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Saiful Islam Mohamad.

Ahmad Saiful dilihat tenang dalam kandang orang tertuduh ketika Mohamad Aizat membuat keputusan tersebut sambil didengar puluhan orang yang memenuhi mahkamah berkenaan.

Dalam keputusannya, Mohamad Aizat berkata hasil testimoni daripada enam saksi pendakwaan semasa perbicaraan sebelum ini, mahkamah mendapati rantaian kes itu tidak pernah terputus dan siasatan berjalan dengan teratur.

"Oleh itu, setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan dan bukti yang diberikan, mahkamah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.

"Tertuduh Ahmad Saiful Islam diperintahkan untuk membela diri.

“Kamu mempunyai tiga pilihan (bagaimana untuk bela diri) - sama ada berdiam diri, memberikan kenyataan yang tidak bersumpah di luar kandang saksi, atau memberikan kenyataan bersumpah dari kandang saksi, "kata Aizat.

Ahmad Saiful dan peguamnya, Nasar Khan, kemudian dilihat berbincang sebelum peguam terbabit memaklumkan kepada majistret bahawa tertuduh memilih untuk memberikan pernyataan bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah menetapkan 13 Feb ini untuk Ahmad Saiful membela diri.

Pada Jun lalu media melaporkan Ahmad Saiful dikenakan enam tuduhan mengambil dadah. Dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Ahmad Saiful dituduh melakukan kesalahan itu dengan mengambil dadah THC di sebuah pusat hiburan, kira-kira jam 2 pagi. Kejadian didakwa berlaku pada 5 Jan 2019.

Lihat Komen
ADS