Syed Hamid: Masih ada harapan jambatan baru dibina...
Malaysia masih berharap satu hari nanti sebuah jambatan baru merentasi Selat Tebrau akan terbina bagi menggantikan Tambak Johor.
Malaysia masih berharap satu hari nanti sebuah jambatan baru merentasi Selat Tebrau akan terbina bagi menggantikan Tambak Johor.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pembatalan projek jambatan baru itu tidak bererti tiada harapan lagi di masa depan untuk jambatan itu dibina.
"Satu hari nanti kita berharap apabila kita minta, Singapura tidak hanya akan lihat debit dan kredit sahaja. Ia akan melihat ini Malaysia hendak... boleh mendatangkan kebaikan untuk dia jika dia bersetuju. Jadi biar kita memandang ke hadapan.
"Kita tidak harus lihat jambatan ini tidak akan wujud buat selama-lamanya," katanya dalam wawancara "Bersama Menteri" yang disiarkan secara langsung di RTM1.
Menurut laporan Bernama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mohd Annuar Zaini menjadi pengacara wawancara itu.
Syed Hamid berkata, beliau sendiri sebagai anak kelahiran negeri Johor ingin melihat pembinaan jambatan itu menjadi kenyataan kerana ia memberi kebaikan kepada kedua-dua negara berjiran itu.
Menurutnya jika republik itu mengambil peluang keakraban kepimpinan kedua-dua negara dan suasana baru yang wujud di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tanpa mengaitkan isu jambatan itu dengan soal penjualan pasir dan kebenaran menggunakan ruang udara maka masalah sekarang tentunya tidak akan wujud.
Namun Syed Hamid berkata kerajaan mengambil keputusan terbaik dengan mengambil kira segala aspek serta pandangan dan sentimen rakyat, dan yang penting sekali tidak mengorbankan kedaulatan serta maruah negara.
Justeru itu katanya, semua pihak tidak harus mempertikaikan keputusan kerajaan itu dan perlu mengikis apa-apa rasa curiga terhadap keputusan kerajaan dan tidak perlu khuatir apa akan terjadi pada Malaysia mahupun negeri Johor berikutan keputusan ini.
"Tidak timbul soal kita takut. Yang kita nak jambatan. Apa yang dia minta sesuatu yang kita tidak boleh terima. Kita tidak perlu menggadai pasir atau ruang udara, libatkan maruah dan kedaulatan. Itu tidak boleh kita buat," katanya.
Syed Hamid juga menjelaskan bahawa kerajaan tidak mengorbankan kepentingan hubungan dengan negara-negara jiran walaupun menjadi pengerusi pertubuhan besar - Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Katanya kerajaan sentiasa menguruskan dasar luarnya, baik dua hala mahupun pelbagai hala, dengan secara baik serta bijak, dan 26 peratus daripada perdagangannya membabitkan negara-negara Asean.
Syed Hamid juga menolak dakwaan pihak tertentu di Thailand kononnya Malaysia menjadi tempat melatih pengganas-pengganas untuk menimbulkan kekacauan politik di negara jiran itu.
Tegasnya, Malaysia tidak pernah terlibat dengan mana-mana kumpulan pemisah dan menghormati kedaulatan serta integriti wilayah Thailand dan sentiasa memberi kerjasama dalam mengesan jika ada rakyat negara itu yang terlibat dengan keganasan memasuki negara.

