Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat Malaysia Timur kurang setuju Sistem Perwakilan Berkadar

Beberapa wakil rakyat dari Malaysia Timur menyatakan rasa kurang setuju dengan sistem Pilihan Raya Perwakilan Berkadar (PR) yang dicadangkan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) bagi menggantikan sistem Pemenang Undi Terbanyak (FPTP) sedia ada.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin setuju bahawa sistem FPTP perlu diperbaharui, namun lebih memilih Sistem Pengundian Campuran (MPP atau Mixed Electoral System), seperti diamalkan di Jerman dan New Zealand.

"Saya menyokong langkah untuk memperbaharui sistem FPTP sedia ada (tetapi) secara peribadi saya rasa MMP lebih baik daripada PR.

"PR mempunyai masalah dari segi hubungan tempatan. Sukar untuk membayangkan ahli parlimen tiada kaitan dengan kawasan mereka (tetapi) untuk menjadikan sistem pilihan raya lebih berkadar adalah baik," katanya kepada Malaysiakini.

Pengerusi ERC Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini berkata, pihaknya akan mengusulkan kerajaan menggantikan sistem FPTP yang diguna pakai sekarang kepada PR untuk kerusi parlimen.

Sistem Perwakilan Berkadar ini memerlukan pengundi memilih senarai parti yang ingin mewakili negeri tertentu. Bilangan kerusi yang dimenangi oleh setiap parti akan diagihkan secara berkadar.

Abdul Rashid (gambar atas) juga berkata, ERC mengakui bahawa Malaysia mempunyai tiga unit politik - Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak - dan ia akan dilayani secara berasingan di bawah sistem PR yang disyorkan.

Bagaimanapun, di bawah sistem PR ini, Abdul Rashid berkata parti tempatan atau parti minoriti masih berpeluang memenangi kerusi, selagi mereka mencapai bilangan undi tertentu, sebagai contohnya, lima peratus undi.

Mengulas lanjut, Chan berkata Sabah dan Sarawak hanya setuju dengan sistem yang dicadangkan jika pelaksanaannya itu nanti berasaskan satu unit dan bukannya secara nasional.

"Jika tidak, ia sangat sukar bagi parti tempatan Sabah dan Sarawak," katanya.

Ahli Parlimen Santubong, Wan Junaidi Wan Jaafar juga menegaskan negara maju yang mengamalkan sistem PR mempunyai peratusan penduduk bandar yang tinggi.

"Tetapi di Malaysia, kita masih mempunyai penduduk luar bandar yang besar. Sarawak dan Sabah terutamanya, hampir 45 peratus adalah penduduk luar bandar.

"Gambaran kawasan pilihan raya mestilah mencerminkan keadilan dan keseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

Anggota Parlimen Julau, Larry Sn'g memberitahu Malaysiakini, beliau lebih suka sistem FPTP untuk Sarawak berbanding sistem PR terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata walaupun kawasan luar bandar mempunyai populasi kecil, mereka memerlukan perhatian yang lebih besar kerana tahap kemiskinan yang lebih tinggi.

"Para pemimpin yang dipilih untuk mewakili kawasan itu mesti mempunyai hubungan yang kuat dengan akar umbi, yang saya percaya, sistem FPTP memelihara prinsip itu lebih baik daripada PR," kata Sn'g.

Walaupun kerusi-kerusi DUN akan terus menggunakan sistem FPTP dan dengan itu akan mengekalkan hubungan dengan rakyat, Chan berkata anggota parlimen sepatutnya juga memahami isu-isu kawasan pilihan raya.

"Sebagai contoh, kita perlu memahami isu-isu pasar, penting untuk menyentuh akar umbi," katanya.

Wan Junaidi juga berkata dengan sitem PR ini akan menjauhkan lagi hubungan wakil rakyat dengan pengundi.

Beliau berkata pada masa ini, anggota Parlimen dan Adun masing-masing menjaga kebajikan rakyat termasuk mengendalikan isu-isu yang melibatkan saliran, jalan raya dan sekolah di kawasan masing-masing.

Di bawah sistem PR yang dicadangkan untuk kerusi Parlimen, rakyat hanya mempunyai seorang exco untuk bergantung hal-hal berkenaan, yang mana ia tidak mencukupi kerana rakyat memerlukan lebih banyak pilihan, katanya.

"Kepada rakyat, semua keluhan mereka boleh diambil tindakan oleh wakil rakyat. Orang ramai tidak akan dapat menerima sebaliknya, tidak kira betapa baik kerajaan lakukan secara keseluruhannya, "kata Wan Junaidi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS