Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK KIMANIS | Umno mengingatkan pengundi Kimanis supaya tidak terpengaruh dengan "wayang" yang dimainkan parti Warisan kononnya mereka parti tempatan dan tidak ada kaitan dengan PH.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata Warisan cuba menonjolkan kepada rakyat Sabah bahawa mereka tiada hubungan dengan parti dari Semenanjung Malaysia kerana prestasi PH kurang disenangi rakyat.

Hakikatnya, kata Mohamad, Warisan adalah penyokong kuat kepada gabungan PH yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau kerajaan Warisan Sabah kata tak ada kena-mengena dengan PH, itu pembohongan... mereka main politik.

"Mereka (cuma) tak masuk (PH) secara formal, tapi mereka penyokong kuat kepada PH di semenanjung, mereka bergabung secara tak rasmi.

"Kalau bukan sebahagian daripada PH kenapa (Warisan) dapat sampai tiga menteri, timbalan menteri lagi?" katanya yang ditemui ketika berkempen di Kimanis malam tadi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Tiada sebab tolak calon Umno

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohamad Alamin dan calon Warisan Karim Bujang.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pertembungan antara BN dan Warisan di Kimanis umpama perlawanan antara Malaysia dengan Filipina.

Jelasnya, beliau dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa BN itu Malaysia dan Filipina adalah Warisan.

"Ada orang cakap pada saya, Datuk itu semua orang Filipina, itu dibayar itu, saya tak tahulah... saya menyambung cakap saja.

"Bagaimanapun saya yakin anak-anak Sabah akan ubah kerajaan PH Warisan Sabah," jelas Mohamad.

Mengulas mengenai calon yang dipertaruhkan BN, Mohamad berkata tiada sebab untuk pengundi Kimanis menolak calon parti terbabit.

Katanya, BN mempertaruhkan anak tempatan yang berkarisma, masih muda dan mampu membawa suara rakyat ke Parlimen untuk didengari kerajaan.

Lihat Komen
ADS