Anggota Parlimen Kluang Wong Shu Qi menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa pilihan parlimen untuk menyiasat aktiviti propaganda firma Cambridge Analytica ketika pilihan raya umum lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Wong berkata Cambridge Analytica yang kini tidak beroperasi, mempunyai reputasi terlibat dalam peperangan psikologi dan memanipulasi pilihan raya.

Sehubungan  itu, beliau berkata aktiviti Cambridge Analytica di Malaysia mungkin menjadi ancaman kepada demokrasi negara.

Wong mengulas peranan Cambridge Analytica di Malaysia dalam kebocoran e-mel baru-baru ini yang dikenali sebagai "Merdeka Papers".

Menurut Merdeka Papers, beberapa pertemuan diadakan antara pegawai-pegawai Cambridge Analytica dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan timbalan presiden parti ketika itu.

Mesyuarat lain diadakan dengan wakil BN bagi mengemukakan cadangan untuk berkempen yang bertujuan untuk BN memenangi 40 kerusi parlimen.

Antara kerusi parlimen dikenalpasti adalah Arau, Pendang, Jerai, Kulim Bandar Baru, Ketereh, Machang, Bagan Serai, Kuala Kangsar, Telok Intan, Balik Pulau, Cameron

Highlands, Bentong, Bera, Sungai Besar, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Setiawangsa, Titiwangsa, Segamat, Labis, Ledang, Muar, Tebrau, Pasir Gudang, Pulai, Kota Marudu dan Beaufort.

Cadangan itu juga termasuk menawan semula kerusi parlimen Alor Setar, Bachok, Pasir Putih, Kuala Krai, Kuala Nerus, Bukit Gantang, Temerloh, Gombak, Sepang, Lembah Pantai, Telok Kemang, Batu Pahat dan Sandakan.

Cambridge Analytica ditutup tahun lepas, selepas bekas kakitangan syarikat itu membongkar dan memperincikan bagaimana syarikat itu mengumpul berjuta-juta profil Facebook tanpa persetujuan untuk tujuan politik.

Skandal itu menyebabkan siasatan dimulalkan oleh Kongres Amerika Syarikat dan Parlimen United Kingdom.