Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Majlis anugerah UPSR tergendala 6 tahun akibat campur tangan politik'

Ahli politik digesa tidak mencampuradukkan isu politik dengan pendidikan, sebaliknya memfokuskan kepada pembangunan negara, kata Pengerusi Yayasan OMS, P Thiagarajan.

Thiagarajan berkata beliau sendiri pernah melalui pengalaman apabila majlis penganugerahan untuk murid-murid cemerlang UPSR anjuran OMS tergendala selama enam tahun akibat campur tangan politik.

"Kami menganjurkan majlis ini selama 14 tahun berturut-turut untuk memberikan pingat emas kepada murid cemerlang UPSR dari sekolah-sekolah Tamil negeri Selangor.

"Namun, ia tergendala selama enam tahun sehingga tahun lepas akibat campur tangan oleh seorang bekas timbalan menteri," katanya pada majlis tersebut di MAEPS Serdang, hari ini.

Bagaimanapun, Thiagarajan tidak mendedahkan siapakah bekas timbalan menteri tersebut.

"Saranan saya kepada ahli politik jangan campur tangan dalam isu pendidikan. Manakala, menteri-menteri yang tidak kena-mengena dengan kementerian pendidikan, fokus kepada kementerian masing-masing," tegasnya.

Terdahulu, Yayasan OMS menganugerahkan pingat emas kepada 1,107 murid yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dari tahun 2016 hingga 2019.

Majlis tersebut dirasmikan Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Dr Mahanom Mat Sam.

Sementara itu, Thiagarajan turut mendakwa ketiadaan sebuah badan bagi menangani isu-isu di sekolah Tamil kerana cuba dipolitikkan. 

"Kalau kita nampak Dong Zong, pada kerajaan terdahulu tulang belakang organisasi itu adalah ahli politik. Pasal itu mereka boleh mencapai banyak kejayaan.

"Tapi, di sekolah Tamil, kalau ada pihak cuba membangkitkan isu-isu yang melanda, maka ada pihak cuba menghalang. Jika ia dapat diatasi sudah tentu kami boleh menubuhkan sebuah badan seperti Dong Zong demi kepentingan sekolah-sekolah Tamil," katanya.

Lihat Komen
ADS