Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Harussani: Jual air zamzam tetap salah di sisi syarak

Susulan isu larangan penjualan air zamzam oleh kerajaan Arab Saudi, Mufti Perak Harussani Zakaria menjelaskan bahawa perkara itu juga tidak dibenarkan mengikut hukum syarak.

Tambahnya, ini kerana Islam melarang pihak yang mengambil sesuatu barang tanpa kebenaran.

“Kalau ikut hukum syarak, salah lah kalau sudah tidak dibenarkan ‘tuan empunya badan’ (pihak Arab Saudi).

"Islam tidak benarkan orang ambil barang tanpa kebenaran,” katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini.

Isu penjualan air zamzam kembali menjadi perbahasan awam selepas Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan amaran mengenai perkara itu.

KKM dalam satu kenyataan semalam, memberi peringatan bahawa individu yang disabitkan kesalahan mengimport, mengedarkan dan menjual air zamzam boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Kenyataan itu antaranya menyebut Arab Saudi melarang penjualan air zamzam di mana-mana kedai termasuklah kedai-kedai buku di Malaysia.

“Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zamzam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

“Sehubungan itu, penjualan air zamzam tidak dibenarkan di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini pula, KKM berkata antara alasan air zamzam diharamkan penjualan kerana ia dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mengimport air zamzam memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Sementara itu, Harussani turut menjelaskan tidak menjadi suatu kesalahan sekiranya pihak yang kembali menunaikan umrah atau haji membawa air tersebut sekadar untuk bekalan sendiri atau bersedekah.

“Kalau baru balik dari Umrah atau Haji, nak bagi air zamzam dekat orang atau sedekah tidak apa.

"Dia jadi masalah kalau jual sebab tidak dibenarkan,” katanya.

Punca telaga air zamzam terletak di dalam Masjidil Haram di Makkah Arab Saudi, berhampiran dengan Kaabah, tempat paling suci dalam Islam. 

Penganut Islam turut menganggapnya sebagai suci dan air zamzam juga digunakan dalam perubatan tradisional kerana dipercayai dapat menjadi penawar penyakit.

Lihat Komen
ADS