Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP ingatkan pemimpin, ahli potik jangan sentuh isu sentiviti kaum

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador merayu kepada ahli politik agar tidak menggunakan isu-isu berunsur perkauman dan keagamaan yang boleh menjejaskan keamanan.

Katanya, ahli politik sepatutnya menggunakan kebijaksanaan mereka serta cuba menyelesaikan setiap masalah dengan cara yang baik.

"Saya merayu, khususnya kepada ahli-ahli dan pemimpin politik, agar mereka lebih memahami dinamik negara ini dengan pelbagai kaum dan agama.

"Jangan lakukan aktiviti-aktiviti dengan niat menyakitkan hati dan seolah-olah mencabar pihak lain. 'Suhu' akan meningkat.

"[...] Itulah sebab saya seru supaya mereka lebih bertanggungjawab. (Kalau) boleh duduk dalam parlimen, duduk bertepuk tampar, kenapa di luar lain pula nadanya?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi bersama media di Dewan Theatrette, Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, sekalipun pihak polis kelihatan berdiam diri berhubung isu-isu perkauman dan keagamaan yang timbul, ia tidak bermakna mereka tidak melakukan tindakan kerana kertas siasatan tetap dibuka dan pihak berkenaan tetap dipanggil memberikan kenyataan, sebelum siasatan dihantar ke jabatan peguam negara untuk tindakan selanjutnya.

Mengulangi pendiriannya 28 Disember lalu, Abdul Hamid menyifatkan kes-kes perkauman dan agama yang ditimbulkan sungguh merugikan negara dan membebankan pihak polis.

Katanya, aktiviti seumpama itu selalunya dibuat pada Sabtu dan Ahad, sedangkan pada waktu tersebut merupakan waktu anak buahnya sepatutnya berehat.

“Mereka pun perlukan rehat tapi terpaksa buat kerja lebih masa (OT), semata-mata nak jaga keamanan.

“Di hujung tahun orang lain menikmati cuti menguruskan sekolah anak-anak, anak buah saya terpaksa duduk di dalam trak, tunggu di tempat-tempat yang hendak dijalankan aktiviti yang sensitif tadi.

“Ini membuang masa saya dan anak buah saya,” katanya lagi, sambil membayangkan masa yang diperuntukkan untuk aktiviti demikian sebaliknya boleh digunakan untuk menangani kes jenayah seperti kes dadah dan sebagainya berbanding isu yang disifatnya “remeh”.

Isu perkauman dan agama dilihat semakin panas baru-baru ini sehingga mencetuskan beberapa himpunan yang menimbulkan ketidaksenangan antara kaum.

Yang terbaru, rentetan isu pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular menyebabkan beberapa pihak daripada kumpulan Melayu dan Cina berbalas kenyataan.

Hal itu menyebabkan beberapa perhimpunan dan persidangan diadakan, yang terbaru Kongres Jawi oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) dan Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi Haramkan Dong Zong oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Polis telah mendapatkan injunksi mahkamah terhadap satu persidangan yang sepatutnya dianjurkan Dong Zong berhubung isu sama, menyebabkan kumpulan pendidikan Cina itu mengambil keputusan membatalkan persidangan yang sepatutnya berlangsung 28 Disember lalu.

Lihat Komen
ADS