Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Halang sidang Dong Zong, Polis bertindak demi keselamatan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed sekali lagi menegaskan tindakan polis menghalang penganjuran Persidangan Bersama Organisasi Cina oleh Dong Jiao Zong dibuat semata-mata atas dasar keselamatan awam.

Katanya, tindakan polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang persidangan tersebut, bukanlah dilakukan atas niat untuk menyekat hak bersuara mana-mana pihak.

“PDRM ambil tindakan tersebut oleh kerana kita pentingkan tentang keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam. Sebab itu kita mohon mahkamah untuk menghalang pihak- pihak yang hendak berkumpul (untuk) batalkan.

“Kita tak mahu ada provokasi walaupun sedikit. Sedikit provokasi pun akan menyebabkan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

“Sebagai penguatkuasa undang-undang, PDRM mengambil langkah-langkah tersebut, prioriti kita adalah keselamatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Atlet PDRM Sukan SEA 2019 di Mes pegawai Kanan PDRM, di Bukit Aman.

Kenyataannya itu sekali lagi mengulangi kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 29 Disember lalu yang menyifatkan tindakan polis dibuat atas faktor keselamatan, setelah menerima banyak laporan berhubung penganjuran persidangan itu.

Persidangan itu sepatutnya berlangsung 28 Disember lalu, bagi membincangkan soal pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Niat Dong Jiao Zong mahu meneruskan penganjuran persidangan itu menyaksikan beberapa kumpulan Melayu yang menyokong pengajaran Jawi, berhasrat melakukan perhimpunan balas pada hari sama.

Bagaimanapun, perintah mahkamah itu menyebabkan Dong Jiao Zong membatalkan penganjuran persidangan mereka di saat-saat akhir, disusuli pembatalan perhimpunan balas oleh kumpulan-kumpulan lain.

Isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular menimbulkan polemik yang menyaksikan banyak pihak berbalas kenyataan, daripada pihak yang menentang dan yang menyokong.

Meskipun persidangan Dong Jiao Zong dibatalkan, beberapa perhimpunan dan kongres selepas itu dibiar berlangsung tanpa tindakan sama oleh pihak polis.

Yang terbaru ialah Kongres Jawi oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) dan Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi Haramkan Dong Zong oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Sebahagian pihak termasuk peguam mengkritik tindakan polis itu sebagai tidak adil. 

Lihat Komen
ADS