Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Sudah 67 hari Najib Razak dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta wang milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib dibicarakan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Bekas perdana menteri itu diwakili sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan hari ini akan bermula agak lewat sedikit kerana Najib perlu menghadiri satu lagi perbicaraan di mahkamah lain. Di depan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, Najib dan pasukan pembelaannya hadir untuk sebutan kes 1MDB membabitkan wang sebanyak RM2.28 bilion.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung perbicaraan di depan hakim Mohd Nazlan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, menyambung soal balas yang ditangguhkan petang semalam.

LANGSUNG

4.50 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan.

Perbicaraan terhadap Najib Razak yang didakwa menyelewengkan RM42 juta dana SRC akan disambung semula pagi esok.


4.35 petang:  Bekas perdana menteri, Najib Razak tidak tahu siapa yang mempunyai keberanian untuk memalsukan tandatangannya ketika dia adalah orang yang paling berkuasa selaku perdana menteri dan menteri kewangan.

Tertuduh menyatakan "tidak tahu" ketika pemeriksaan balas oleh DPP, V Sithambaram mengenai siapa yang memiliki keberanian untuk memalsukan tandatangannya pada dokumen yang dikaitkan dengan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Semasa perbicaraan hari ini, Najib berulang kali mempersoalkan kesahihan tandatangannya yang dicatatkan pada dokumen-dokumen penting seperti minit mesyuarat SRC International.

Sithambaram: Selaku perdana menteri, menteri kewangan, individu paling berkuasa, yang terlibat dalam SRC yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan, siapa yang akan mempunyai keberanian untuk memalsukan tandatangan kamu?

Najib: Itu bukan satu soalan yang adil.

Sithambaram: Soalan ini mudah.

Najib: Suboh membuat dakwaan yang sama bahawa dokumen itu dipalsukan.

Sithambaram: Itu bukan soalan. Siapa yang akan melakukannya (memalsukan tandatangan Najib)?

Najib: Saya tidak tahu.

Semasa di peringkat pendakwaan pada perbicaraan tahun lalu, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin memberi keterangan bahawa CEO syarikat, Nik Faisal Ariff Kamil mungkin memalsukan tandatangan untuk memindahkan dana.


3.40 petang: Najib Razak berkata beliau tidak mengetahui kesukaran Kementerian Kewangan mendapatkan maklumat mengenai syarikat SRC.

Ditanya timbalan pendakwa raya, bekas menteri kewangan itu berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan pengurusan kanan SRC yang tidak menyalurkan maklumat secukupnya kepada pegawai kementerian yang ketika itu menyediakan kertas kabinet mengenai permohonan mendapatkan jaminan kerajaan.

Menurut Najib, beliau mengandaikan pegawai-pegawai kementerian semestinya mendapat maklumat yang diperlukan ketika itu.

"Kalau mereka tak ada maklumat mencukupi, ketua perbendaharaan mesti memaklumkannya kepada saya," katanya.


3.25 petang: SRC tidak boleh pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011 dan 2012 tanpa jaminan kerajaan, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu mengakui hal berkenaan semasa menjawab soalan V Sithambaram mengenai kemungkinan SRC boleh mendapat wang yang begitu besar walaupun ditubuhkan dengan modal berbayar RM2.

Sithambaram: Adakah kamu mengatakan, jika mereka mengemukakan (permohonan pinjaman) terus kepada KWAP, mereka masih akan mendapat pinjaman?

Najib: Kunci kepada semua ini ialah jika mereka boleh mendapat jaminan kerajaan, sebab SRC ialah sebuah syarikat yang tidak mempunyai modal.

Sithambaram: Tanpa jaminan kerajaan, SRC tidak akan berjaya mendapat pinjaman, betul?

Najib: Sudah tentu.

Ahli Parlimen Pekan itu ketika ditanya adakah kenyataannya "bersetuju" mengenai permohonan kepada KWAP bagaimanapun menafikan ia bermaksud beliau bersetuju dengan pinjaman tersebut.

Kata Najib beliau bersetuju agar proses permohonan pinjaman itu dimulakan dan terserah kepada KWAP untuk membuat pertimbangan.

Sithambaram kemudian mencadangkan hal sebaliknya dan berkata, nota oleh seorang perdana menteri bukan bermaksud badan tersebut bebas membuat pertimbangan.

Sithambaram: Apabila perdana menulis "bersetuju" ia tidak tertakluk kepada pertimbangan (KWAP).

Najib: Tidak, saya tak setuju.


3.21 petang: Bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak memberikan mengeyakan cadangan timbalan pendakwa raya bahawa beliau dia adalah bos sebenar.

Tertuduh memberikan jawapan itu ketika V Sithambaram menyoal balas Najib mengenai kenyataan CEO KWAP, Azian Mohd Noh, sebelum ini yang mengatakan Najib adalah "bos mutlak" mereka.

Tahun lalu Azian memberi keterangan kepada mahkamah bahawa Najib adalah "bos mutlak" KWAP apabila ditanya sama ada beliau sebagai perdana menteri ketika itu boleh mempengaruhi keputusan badan berkenaan.

Sithambaram: Kamu bersetuju bahawa kedudukan Azian ketika itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP dan kedudukan kamu menteri kewangan membuatkan kamu menjadi bos mutlak?

Najib: Semua institusi (berkaitan kerajaan) adalah sebahagian daripada pentadbiran.

Sithambaram: Azian adalah Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, ketika dia berkata kamu bos mutlak?

Najib: Ya, tetapi tidak dalam erti kata yang ketat, mesti melalui proses tertentu. Inilah cara kerajaan berfungsi.

Sithambaram: Dia berkata kamu bos mutlak.

Najib: Tertakluk kepada proses sewajarnya.

Sithambaram: Adakah anda mengatakan bahawa anda bukan bos mutlak?

Najib: Tidak, tetapi ada proses (tertentu).


2.45 petang: Mahkamah dimaklumkan, Najib memang tahu pembabitan Jho Low dalam syarikat salah sebuah syarikat yang terlibat memindahkan wang SRC ke akaun persendirian ahli parlimen Pekan tersebut pada 2014 dan 2015.

Syarikat yang dimaksudkan ialah Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPC).

Tedahulu V Sithamnbaram bertanya sama ada Najib ingat atau tidak, beliau ada menyatakan - dalam keterangannya kepada SPRM - bahawa "Saya kenal ahli Lembaga Pengarah PPC, iaitu Rosman Abdullah dan Jho Low" dan "Setahu saya mereka berdua terlibat dengan PPC".

Najib: OK, saya ingat saya ada berkata begitu.

Sithambaram: Dan kamu memang tahu pada 2011, 2012, 2013, 2014... semasa waktu tersebut, Jho Low mempunyai kepentingan dalam PPC?

Najib: Ya, tapi saya tak pasti bentuk kepentingannya.


2.43 petag: Prosiding mahkamah bersambung.


12.50 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat. Perbicaraan akan bersambung kira-kira jam 2.30 petang ini.


12.35 tengah hari: Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai asal wang RM42 juta yang masuk ke akaun persendiriannya pada Dis 2014 dan Feb 2015.

Menjawab soalan V Sithambaram, ahli parlimen Pekan itu berkata maklumat mengenai wang berkenaan dirahsiakan oleh bekas setiausaha sulitnya, Allahyarham Azlin Alias, dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

Ditanya mengapa kedua-dua mereka merahsiakan maklumat sedemikian, Najib menjawab: "Kamu kena tanya mereka".

Najib menambah, beliau tidak pernah membenarkan wang SRC dimasukkan ke akaunnya.


12.20 tengah hari: Walaupun terkejut menerima RM42 juta dari SRC, Najib Razak tidak memulangkan wang berkenaan, kata tertuduh di mahkamah hari ini.

Menurut Najib - ketika itu menjadi perdana menteri dan penasihat emeritus SRC - langkah tersebut diambil kerana siasatan mengenainya sedang berjalan pada waktu berkenaan.

Tahun lalu, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Dr Shamsul Anwar Sulaiman, yang menjadi saksi pendakwaan memberitahu mahkamah Najib terkejut selepas dimaklumkan wang SRC memasuki akaunnya.

Saksi pendakwawan, Shamsul Anwar Sulaiman.

Sithambaram: Shamsul kata, kamu menyatakan rasa terkejut apabila ia (RM42 juta) dibayar ke akauan kamu.

Najib: Ya.

Sithambaram: Kalau begitu, perkara logik yang perlu dilakukan ialah memulangkang wang berkenaan (kepada SRC).

Najib: Ia tertakluk kepada siasatan.

Apabila Sithambaram bertanya sama ada Najib ketika itu masih boleh memulangkan wang tersebut atau tidak, ahli parlimen Pekan itu menjawab, beliau mahu menunggu hasil siasatan berhubung isu berkenaan.


12.10 tengah hari: Sekali lagi Najib Razak mempertahankan dirinya dengan mendakwa dia tidak tahu wang RM42 juta yang memasuki akaunnya pada 2014 dan 2015 datang dari syarikat SRC.

Najib berkata demikian ketika V Sithambaram membangkitkan hal afidavit tertuduh semasa beliau mengemukakan saman sivil terhadap bekas menteri kanan BN Dr Ling Liong Sik, pada 2015.

Dalam afidavit, Najib mengakui bahawa sejumlah AS$700 juta masuk ke akaunnya sebagai derma, tetapi tidak tahu-menahu tentang baki RM42 juta lagi yang berasal dari SRC.

Sithambaram: Setuju kamu membuat kenyataan ini?

Najib: Ya.

Sithambaram: Hanya untuk melengkapkan, ini mengandungi tandatangan kamu. Tandatangan adalah subjek tabu dalam perbicaraan ini.

Najib: Ya, saya menandatangani yang ini (afidavit).

Sithambaram: Dan kandungan perenggan enam mewakili kebenaran atau kamu mendapat sebarang kelayakan.

Najib: Seperti mana saya katakan di sini, ia masuk ke akaun saya, tapi bukan dalam pengetahuan saya.

Sitham: Saya ingin tahu sama ada memang wujud kelayakan.

Najib: Saya menyatakannya jadi ia sangat jelas, pada masa itu saya tidak tahu ia adalah wang SRC kerana ia datang melalui perantara. Saya tidak tahu ia adalah wang SRC semasa waktu ia berlaku.


11.23 pagi: Tiada sebarang laporan dibuat berhubung dakwaan berlaku pemalsuan beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat pemegang saham SRC, kata Najib.

Sithambaram: Adakah anda memberitahu peguam anda bahawa dokumen-dokumen tidak harus wujud?

Najib: Kami membincangkannya, ya.

Sithambaram: Oleh kerana dokumen tidak wujud, adakah anda membuat laporan polis?

Najib: Tidak, kerana perbicaraan sedang dijalankan.

Terdahulu, Najib mendakwa bahawa dokumen itu boleh dipalsukan kerana beliau tidak pernah ditunjukkan apa-apa minit untuk ditandatangani sebagai pemegang saham.


11.12 pagi: Bekas perdana menteri berkata beliau tidak pernah meminta untuk dilantik sebagai penasihat emeritus untuk syarikat milik kerajaan, SRC.

Kenyataan itu dibuat Najib selepas V Sithambaram bertanya sama ada beliau wajar bertanggungjawab atas keputusan ahli lembaga pengarah SRC menggunakan dana sebanyak RM4 bilion - yang dipinjam dari KWAP - antara 2011 dan 2012.

Najib: Saya tak pernah minta jadi penasihat emeritus.

Sithambaram: Hal yang dibawa pendakwaan sekarang ialah, kamu mahu dilantik sebagai penasihat emeritus (SRC).

Najib: Tidak, tidak, tidak, tak setuju.


11.03 pagi: Najib memberitahu mahkamah, beliau terkejut apabila dimaklumkan bahawa SRC terlibat dalam pelaburan luar negeri yang melibatkan RM3.6 bilion daripada modal syarikat itu.

Menjawab soalan V Sithambaram, Najib berkata, walaupun terkejut beliau tidak mendapatkan maklumat lanjut mengenai hal itu daripada ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Jawaban itu mendorong Sithambaram menekan Najib mengenai hal berkenaan dan mencadangkan bahawa tertuduh tidak berminat dengan apa yang dilakukan SRC dengan pinjaman yang diambil dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Namun tertuduh menafikan hal tersebut, dan sebaliknya berkata, beliau menyerahkan hal berkenaan kepada pihak pengurusan SRC.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Sithambaram bahawa dia tidak menyiasat hal berkaitan pelaburan berkenaan kerana memang mengetahuinya dan telah menandatangani resolusi pemegang saham seperti yang ditunjukkan di mahkamah.

Untuk rekod itu, sebelum ini Najib mempertikaikan kesahihan dokumen yang memaparkan tandatangan didakwa miliknya pada dokumen SRC.


10.55 pagi: Ahli Lembaga Pengarah SRC didakwa tidak pernah merujuk kepada Najib berkenaan pelaburan hampir semua RM4 bilion modal syarikat itu di luar negara.

Najib memberitahu mahkamah, beliau juga tidak bersetuju apabila dicadangkan oleh Sithambaram bahawa satu resolusi pemegang saham meluluskan pelaburan SRC berjumlah RM3.6 bilion pinjaman dari KWAP dikeluarkan olehnya.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Kenyataan itu dibuat ketika sebelumnya Najib menyatakan dalam keterangan saksi bahawa ketua pegawai eksekutif SRC ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, ada memaklumkannya mengenai pelaburan - bernilai RM3.6 bilion - dibuat ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Sithambaram: Datuk Seri, dalam keterangan saksi kamu, kamu memberitahu ada dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa pelaburan kira-kira RM3.6 bilion ini dijalankan oleh lembaga.

Najib: Kalau saya berkata demikian dalam keterangan saksi, ya.

Sithambaram: Daripada Datuk Seri, itu hanya bermaksud kamu mesti sudah mengeluarkan resolusi pemegang saham seperti yang ditunjukkan kepada kamu.

Najib: Tidak semestinya begitu.


10.50 pagi: Najib mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang resolusi daripada ahli Lembaga Pengarah SRC yang memerlukannya memberikan kelulusan sebagai pemegang saham tunggal syarikat berkenaan.

Untuk rekod kedudukan Najib itu adalah berdasarkan kepada jawatannya sebagai menteri kewangan. Keadaan itu menjadikan beliau mengetuai agensi Kementerian Kewangan Diperbadankan (MKD) dan pemilik SRC.

Menjawan soalan V Sithambaram, Najib bersetuju apabila dicadangkan bahawa keadaan itu bermakna tiada sebarang keputusan besar dibuat oleh ahli Lembaga Pengarah SRC di antara 2011 dan 2018.

Soalan Sithambaram itu diutarakan selepas Najib sebelumnya memberitahu beliau tidak pernah menandatangani sebarang minit mesyuarat pemegang saham yang didakwa dikeluarkannya untuk SRC.

Sebelum ini Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak tidak boleh mengeluarkan minit pemegang saham kepada lembaga terbabit tanpa resolusi lembaga itu dirujuk kepadanya terlebih dahulu untuk dibincangkan.

Sithambaram: Setakat apa yang berlaku, lembaga itu tidak meluluskan apa-apa resolusi yang memerlukan minit pemegang saham?

Najib: Nampaknya begitu.

Sithambaram: Nampaknya begitu - ya. Datuk Seri, apabila kamu tidak menerima apa-apa resolusi lembaga atau resolusi pekeliling pengarah (DCR), itu bermakna bahawa dari 2011 hingga 2018 - dengan menggunakan kata-kata kamu sendiri - tiada keputusan makro atau utama dibuat oleh pemegang saham tunggal iaitu MKD?

Najib: Pemegang saham hanya boleh membuat keputusan apabila ia dibawa kepada lembaga.

Sithambaram: Jika kamu tidak menerima sebarang resolusi atau DCR, ia bermakna bahawa dari 2011 hingga 2018 tidak ada keputusan makro yang memerlukan minit pemegang saham MKD?

Najib: Ya.


10.43 pagi: Najib menafikan beliau memainkan peranan dalam menggesa agar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP segera mengeluarkan pinjaman bernilai RM4 bilion kepada SRC.

Tertuduh yang juga menteri kewangan ketika itu memberitahu mahkamah selepas disoal Sithambaram mengenai sama ada beliau tergesa-gera dalam hal penting berkaitan SRC.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan memberikan jaminan ke atas dua pinjaman dikeluarkan KWAP kepada SRC, masing-masing bernilai RM2 bilion pada akhir 2011 dan RM2 lagi pada awal 2012.


10.14 pagi: Tertuduh, Najib Razak, memasuki mahkamah dan mengambil tempat di bahagian depan.

Turut kelihatan bersedia memulakan prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram. Beliau dijadual akan menyambung soal balas ke atas Najib hari ini.

Shafee dan pasukannya juga berada dalam mahkamah.

Lihat Komen
ADS