Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO Prasarana digantung tugas, CEO MAHB letak jawatan
Diterbitkan:  Jan 7, 2020 12:19 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Presiden dan CEO Prasarana Mohamed Hazlan Mohamed Hussain digantung tugas manakala CEO Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin pula meletakkan jawatan.

Mohamed Hazlan Mohamed digantung tugas berikutan keputusan lembaga pengarah firma milik kerajaan itu.

Menurut The Malaysian Insight, keputusan diambil pada 24 Disember, disebabkan oleh "ketidakpuasan hati orang awam" terhadap perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), yang dikendalikan Prasarana.

Antara aduan yang dilaporkan adalah kelewatan notis mengenai kerosakan LRT.

Sementara itu, laporan tersebut mengatakan tugas Hazlan akan dipangku oleh ketua pegawai operasi Prasarana, Nizam Alias.

Apabila dihubungi, seorang pembantu Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa menteri menyedari keputusan itu dan menegaskan bahawa ia dibuat oleh lembaga syarikat.

Namun, Prasarana masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai sebarang perubahan peranan. Malaysiakini telah menghubungi Prasarana bagi mendapatkan reaksinya.

Hazlan dilantik pada 3 Sept, 2018.

CEO MAHB 'cari peluang lain'

Sementara itu, Raja Azmi meletakkan jawatan selepas mengambil alih peranannya sebagai CEO kira-kita setahun yang lalu.

Menurut laporan di Bursa Malaysia semalam, keputusan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta supaya beliau dapat "mencari peluang lain".

Namun, tidak ada maklumat lanjut dinyatakan.

Raja Azmi mengambil alih peranan di MAHB pada 4 Jan 2019.

Sementara itu, tugasnya akan diisi oleh ketua pegawai operasi MAHB Mohd Shukrie Mohd Salleh.

"Lembaga itu ingin mengucapkan terima kasih kepada Raja Azmi atas khidmatnya dan ingin mengucapkan selamat maju pada masa depannya.

"Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam, MAHB akan menjalankan proses yang betul untuk mengenal pasti dan melantik pengganti yang sesuai," kata pengendali lapangan terbang tersebut dalam satu kenyataan di laman webnya.


Laporan tambahan oleh Annabelle Lee

Lihat Komen
ADS