Paling Popular
Terkini

KES NAJIB | Pihak pendakwaan hari ini menggasak bekas Perdana Menteri Najib Razak kerana kurangnya minat beliau terhadap keputusan SRC International Sdn Bhd mengantar berbilion ringgit untuk pelaburan ke luar negara meskipun mengakui terkejut dengan perkara itu.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Najib, semasa diperiksa balas Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, menegaskan lembaga syarikat milik negara itu telah membuat keputusan tanpa penglibatan beliau.

SRC International Sdn Bhd, yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB, dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). MOF Inc adalah pemegang saham tunggal SRC International dan Najib menjadi menteri kewangan pada masa itu.

Sithambaram: Apabila kamu diberitahu pelaburan yang besar di luar negara, adakah kamu menunjukkan rasa terkejut bahawa MOF sebagai pemegang saham tunggal tidak dimaklumkan urus niaga ini melibatkan modal SRC?

Najib: Sudah tentu saya terkejut.

Sithambaram: Bagus untuk terkejut. Jika kamu terkejut, kamu akan siasat lembaga pengarah bagaimana mereka menghantar sejumlah wang yang besar di luar negara. Adakah kamu bertanya?

Najib: Tidak, saya tidak tanya.

Sithambaram: Saya menyatakan kepada kamu, kamu tidak bertanya kerana semua minit pemegang saham dirujuk kepada kamu telah ditandatangani oleh kamu dan diserahkan kepada lembaga untuk tujuan yang hendak dijalankan.

Najib: Saya tak setuju.

SRC International mengambil sekitar RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), yang mana RM3.6 bilion dihantar syarikat itu ke luar negara dan statusnya kini tidak diketahui.

Sithambaram mencadangkan Najib tahu apa SRC International lakukan tetapi bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa beliau menyerahkan perkara itu kepada pengurusan syarikat.

"Saya hanya berminat ke atas apa yang telah dibawa kepada perhatian saya," kata Najib.

Najib, menghadapi perbicaraan terhadap tujuh tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan RM42 juta dana dari SRC International.

Kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. 

Lihat Komen
ADS