Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Malaysia lawan Filipina': Minta maaf atau berdepan saman - Shafie

PRK KIMANIS | Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang mendakwa parti Warisan berasal dari Filipina.

Beliau menggesa Mohamad meminta maaf atas kenyataan tersebut atau sekiranya gagal, pemimpin Umno itu bakal berdepan saman kerana memfitnah.

"Bekas MB Negeri Sembilan, orang Minang, dia cakap pilihan raya Malaysia lawan Filipina, saya sudah beritahu saya punya peguam hantar surat sama dia," kata Shafie di hadapan lebih kurang 500 hadirin di majlis perayaan Krismas dan Tahun Baru di Kuala Pus dan Ladang Bongawan di Kimanis.

"Mana itu, mana itu Malaysiakini, buat andaian? Malaysian Insight kau tulis itu," tambahnya.

Pada 5 Januari lalu, Mohamad mendakwa diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa mereka lihat wakil BN sebagai Malaysia manakala Warisan sebagai Filipina.

"Orang telah memberitahu saya, 'Datuk semua orang Filipina, mereka dibayar' ... tetapi saya tidak tahu, saya hanya mengulangi apa yang mereka beritahu saya.

"Apa yang saya pasti tahu rakyat Sabah akan mengubah Kerajaan Warisan di Negeri Sabah Warisan," katanya.

Bercakap dengan media selepas itu, Shafie berkata, kenyataan pemimpin Umno itu membayangkan bahawa beliau berasal dari Filipina.

"Bagaimana saya boleh menjadi seorang Filipina? Saya seorang rakyat Sabah, saya seorang rakyat Malaysia. (Jika tidak) bagaimana saya boleh jadi Timbalan Menteri Pertahanan (1999-2004)? Bagaimana bapa saudara saya (Sakaran Dandai) boleh menjadi Yang di-Pertua negeri ( 1995-2002)?".

"Saya telah berkhidmat di negara ini selama 30 tahun. Tapi jangan persoalkan keturunan bangsa saya," katanya.

Beliau berkata Umno dan BN tidak sepatutnya menggunakan taktik itu untuk memecahbelahkan penduduk di negeri ini.

Sementara itu, Shafie berkata beliau tidak melihat kerjasama antara Umno BN, bekas anggota Parlimen Kimanis Anifah Aman, dan parti-parti pembangkang tempatan.

"Kami melawan dengan mereka dalam pilihan raya lalu ketika mereka bersatu. Mereka kini berpecah dan sekarang mereka dalam Bersatu dan PKR,"

"Ketika mereka bersatu kami masih boleh mencabar dan mengalahkan mereka. Jangan beritahu saya sekarang bahawa kita tidak boleh mencabar dan mengalahkan mereka," katanya.

Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin berkata Anifah, serta parti-parti pembangkang lain seperti PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), kini berkempen untuk BN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata Muafakat Nasional mesti disesuaikan di Sabah.

Shafie berkata beliau tidak bimbang mengenai kemungkinan pembentukan Muafakat Nasional di negeri itu.

"Mereka boleh lakukan apa sahaja yang muafakat. Biarkan mereka melakukannya. Saya pasti rakyat Sabah tidak bodoh dan mereka tahu apa yang mereka mahu," katanya.

Lihat Komen
ADS