Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN yakin mampu menang besar dengan sokongan Anifah

PRK KIMANIS | Calon BN Mohamad Alamin yakin keputusan bekas menteri luar Anifah Aman untuk turun berkempen akan membantunya memperoleh kemenangan dengan majoriti lebih besar pada 18 Jan nanti sekali gus mempertahankan kerusi Kimanis.

Beliau berkata, Anifah memiliki kelebihan selaku bekas anggota parlimen Kimanis serta pastinya mempunyai pengaruh dan penyokong di situ.

"Sedikit sebanyak ini dapat bantu kempen kita supaya memilih BN, Anifah bukan pemimpin yang baru, beliau seorang pemimpin cukup senior dan cukup lama berkhidmat di Parlimen Kimanis.

"...Dan sudah tentu lah dia mempunyai penyokong-penyokong sendiri dan ini kita tidak dapat dinafikan. Dia akan turun bersama, kita akan dapat melonjakan lagi sokongan dan majoriti, insya-Allah.

"Saya cukup optimis kehadiran Anifah dapat membantu kita," katanya ketika ditemui di Kimanis, hari ini.

Anifah (gambar, bawah) adalah bekas MP Kimanis yang telah berjaya memenangi kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

Bagi PRK Kimanis, Mohamad yang dipertaruhkan BN bagi mempertahankan kerusi itu akan dicabar calon Warisan Karim Bujang.

Mengulas mengenai perjalanan kempen PRK itu, Mohamad berkata beliau mendapat reaksi positif daripada pengundi di Parlimen Kimanis.

Malah katanya, beliau mendapat sambutan yang baik ketika meraih undi di rumah pengundi yang pada PRU14 lalu menyokong pembangkang.

"Alhamdulillah saya sangat berpuas hati apabila saya berkempen dari rumah ke rumah respon yang saya terima cukup baik.

"Hampir separuh pusat daerah mengundi (PDM) sudah dilawati, saya akan terus masuk (ke PDM) ini fasa kempen," katanya.

Lihat Komen
ADS