Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu tubuh cawangan di Kimanis
Diterbitkan:  Jan 8, 2020 10:20 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

PAS akan menubuhkan cawangan di Kimanis dalam masa terdekat susulan sambutan baik diterima dari penduduk tempatan, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah.

Jelas Mohd Amar, PAS akan cuba mendapatkan sokongan penduduk tempatan semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

"Buat masa ini kita memang tiada kekuatan di Kimanis. Maka kita lebih kepada usaha menubuhkan PAS secara rasmi di Kimanis," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Kelantan.

Dia mengulangi bahawa PAS akan memberi sokongan penuh kepada BN berdasarkan perpaduan di kalangan umat Muslim.

"Setakat ini ada perkembangan menarik, cuma mungkin peluang 50-50," katanya dipetik Sinar Harian.

PAS membentuk Muafakat Nasional dengan Umno pada September 2018 dan kerjasama itu memberikan kejayaan kepada pembangkang pada PRK Tanjung Piai, dengan calon BN Wee Jeck Seng menang majoriti besar 15,087 undi.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatkan hasrat untuk membawa Muafakat Nasional ke Sabah.

BN Sabah telah berjaya memujuk parti-parti pembangkang tempatan untuk memberi laluan kepada BN dalam PRK Kimanis.

Hari mengundi di Kimanis ditetapkan pada 18 Jan dan akan menyaksikan pertarungan antara calon BN Mohamad Alamin menentang calon Warisan Karim Bujang.

Kedua-dua calon pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Bongawan, yang merupakan salah satu DUN di bawah kawasan parlimen Kimanis.

Karim, 67 merupakan Adun Bongawan selama lima penggal mewakilli parti Usno dan Umno dari tahun 1990 hingga 2013.

Beliau menyertai Warisan tahun lepas dan bertanding di PRU14.

Anifah Aman memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi pada pilihan raya umum ke-14.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Anifah tidak sah.

Mohamad, yang dikenali sebagai Toh Moh, adalah seorang peguam di Kota Kinabalu yang berumur 48 tahun.

Mohamad menggantikan Karim sebagai Adun Bongawan pada 2013 tetapi gagal mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum 2018.

Kimanis adalah kerusi separa bandar yang mempunyai 29,644 pengundi berdaftar, dengan 63.16 peratus daripadanya bumiputera Islam, manakala 30.67 peratus bumiputra bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain.




Lihat Komen
ADS