Kerajaan perkenal Biodiesel B20 pertama di Langkawi
Kerajaan melaksanakan program Biodiesel B20 yang pertama di Pulau Langkawi sejajar dengan hasrat negara menambah kegunaan minyak sawit mentah.
Dalam kenyataan media hari ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata bahan api tersebut boleh diperolehi di Stesen minyak Petronas, Kampung Tok Senik di Pulau Langkawi dengan harga pasaran semasa Biodiesel B10 iaitu RM2.18/liter.
Tambahnya, Biodiesel B20 akan digunakan dalam sektor pengangkutan di beberapa destinasi pelancongan bermula 1 Januari ini.
"Pulau Labuan akan menjadi destinasi kedua untuk program Biodiesel B20 yang turut akan dilaksanakan pada bulan Januari ini.
"Seterusnya, program biodiesel B20 akan dilaksanakan secara berperingkat-ringkat ke negeri Sarawak, Sabah dan akhirnya keseluruhan Semenanjung Malaysia," katanya.
Beliau berharap Biodiesel B20 yang mengandungi sebanyak 20 peratus kandungan metil ester sawit akan menggantikan Biodiesel B10 di pasaran sedia ada secara berfasa di seluruh negara.
"Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk mengekalkan harga pasaran runcit Biodiesel B20 setara dengan harga pasaran semasa Biodiesel B10 bagi para pengguna akan dapat menikmati bahan api kenderaan yang lebih bersih pada kadar harga runcit yang sama.
"Tujuan utama penggunaan Biodiesel B20 adalah sejajar dengan hasrat negara bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) dan seterusnya menjadikan negara lebih bersih dan lestari.
"Program Biodiesel B20 ini dijangka akan menggunakan tambahan minyak sawit mentah sebanyak 500,000 tan daripada jumlah sedia ada yang digunakan bagi program Biodiesel B10 pada ketika ini," tambah menteri itu.

