Paling Popular
Terkini

Calon Warisan bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, Karim Bujang menafikan dakwaan yang mengatakan beliau memegang sijil palsu yang tular di media sosial.

Karim menjelaskan bahawa beliau pernah menyambung pangajian selama dua tahun di luar negara dengan ditaja anak syarikat kerajaan negeri Sabah sehingga berjaya peroleh diploma.

"Saya diberi cuti belajar dengan gaji penuh pada tahun 1978. Memang ada salinan sijil, saya minta kita jangan gaduh, jangan tuduh saya memalsukan sijil.

"Sijil ini saya peroleh 40 tahun lepas, ada yang antara kamu belum lahir lagi.

"Jadi bila keluar di Facebook, anak-anak saya terpanggil untuk buktikan bapa mereka ini bukanlah seorang penipu atau tukang pemalsu ijazah," katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, Kimanis, hari ini.

Sebelum itu, tersebar di media sosial mengenai kesahihah diploma calon Warisan itu yang didakwa diperoleh dari sebuah universiti di United Kingdom.

Bahkan, isu berkenaan menjadi bahan kempen di media sosial oleh pihak parti lawan.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU 2018, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding 11,786 undi yang diperoleh Karim manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

Dalam pada itu Karim berkata anaknya sudah menghantar permohonan kepada pusat pengajian berkenaan bagi membuktikan kesahihan sijil yang dimilikinya.

Bagaimanapun kata Karim lagi, ia mengambil sedikit masa memandang sijil itu diperolehinya telah lama.

"Dia orang (anak-anak) berkomunikasi dengan universiti itu dengan menghantarkan salinan sijil saya itu.

"Tetapi kata universiti, atau kolej tempat saya belajar itu, mereka hanya ada rekod secara salinan dari tahun 1994," katanya.

Lihat Komen
ADS