Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah: Saya tak tahu, tak ada apa untuk dikatakan

Rosmah Mansor tidak menjawab soalan berkenaan dakwaan perbualan telefon antaranya dengan suami, bekas perdana menteri Najib Razak, yang dikatakan berlaku pada 2016 dan menjadi tumpuan hari ini.

Ditanya sama ada perbualan itu memang berlaku, dia menjawab: "Saya tidak tahu (I don't know)."

Berkenaan soalan sama ada dia akan memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendedahkan rakaman itu, dia berkata: "Saya tak ada apa untuk dikatakan (I have nothing to say)."

Dia berkata demikian ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

SPRM hari ini mendedahkan beberapa rakaman yang menurutnya diterima daripada sumber tidak dikenali pada awal bulan ini.

Antaranya ialah perbualan telefon antara Najib dengan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohammed Zayed Al Nahyan, berkenaan skandal 1MDB.

SPRM juga mengesahkan rakaman tersebut adalah tulen dan ujian forensik menunjukkan tiada ubah suai terhadap rakaman itu.

Sementara itu, Rosmah berkata peguamnya akan meneliti perkara itu.

"Peguam saya akan meneliti perkara itu dan akan mengendalikannya," katanya.

'Boleh saya nasihatkan kamu tentang sesuatu?'

Dalam perbualan dengan Najib, Rosmah yang kedengaran berang menggesanya mengambil tindakan dan mengatakan Najib dijadikan seperti "penjahat".

Dia juda didengar menjerit kepada Najib: "Boleh saya nasihatkan kamu tentang sesuatu? (Can I advise you on something?)."

Sebelum ini, Rosmah sering dituduh masuk campur dalam urusan kerajaan ketika Najib menjadi perdana menteri.

Antaranya Deepak Jaikishan, yang dahulunya rapat dengan pasangan itu, memberitahu Al Jazeera pada Mei tahun lalu bahawa Rosmah ialah "perdana menteri de facto".

Setahun kemudian, Rosmah ketika berucap dalam satu program di Pekan, Pahang - kawasan parlimen suaminya - menafikan dia mengawal Najib.

Kedua-duanya kini berdepan sejumlah pertuduhan rasuah di mahkamah.

Terdahulu, Najib berkata dia terkejut berkenaan pendedahan rakaman itu.

 

Lihat Komen
ADS