Ekonomi Malaysia masih berkembang pada kadar yang baik pada peringkat pembangunan ini dengan pelbagai program dijalankan untuk meningkatkannya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat perlu menunggu untuk melihat impaknya secara keseluruhan daripada inisiatif kerajaan.

“Ya, terdapat aliran keluar dana dan mata wang menyusut. Ini adalah fungsi pasaran.”

Menurut beliau, Malaysia masih mempunyai simpanan terbesar dengan rizab Bank Negara Malaysia amat tinggi berjumlah lebih RM400 bilion.

Digabungkan dengan dana lain, seperti Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan beberapa dana yang lebih kecil, jumlahnya boleh melebihi RM1.5 trilion.

“Aset asing adalah besar. Syarikat minyak nasional Petronas mencatatkan prestasi yang baik dengan pendapatan lebih (RM)100 bilion. Ia merupakan 100 peratus milik kerajaan,” katanya dalam catatan blognya bertajuk: ”Kerajaan Pakatan Harapan” di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengakui ringgit menyusut.

“Di kebanyakan negara lain, rizab dengan saiz ini akan menjamin kekukuhan mata wang negara. Namun, pasaran ternyata tidak dapat mempercayai kekukuhan kewangan Malaysia dan mata wangnya.

“Hakikatnya ialah ekonomi Malaysia dan mata wangnya adalah kukuh. Pasaran dan pengkritik mungkin tidak fikir begitu. Bagaimanapun, kerajaan mempunyai keyakinan dalam dasar kewangan dan ekonominya. Begitu juga pelabur asing dan tempatan,” kata Perdana Menteri.

Ahli ekonomi berpendapat unit tempatan dijangka terus mengukuh kepada 4.00 berbanding dolar US menjelang akhir tahun, walaupun menghadapi cabaran negatif dan turun naik dalam masa terdekat.

Sehingga 3.46 petang, ringgit berada pada 4.0790/0840.

Dr Mahathir berkata kerajaan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyusun semula ekonomi.

“Bagi pemerhati, ia dilihat seperti tiada apa yang bergerak. Ia memerlukan masa. Apabila Malaysia beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada negara perindustrian, ia juga mengambil masa.

“Tetapi kebanyakan kita tidak ingat dan golongan muda tidak pernah menyaksikan peralihan itu. Kebanyakannya dilahirkan apabila peralihan itu telah dicapai. Sukar untuk membayangkan Malaysia sebagai negara pertanian hari ini.”

Perkara yang sama akan berlaku sekarang. Peralihan akan mengambil masa - mungkin dua tahun atau lebih dari sekarang.

“Tetapi percayalah, ini akan berlaku. Malah, dalam beberapa keadaan, ia telah berlaku. Kita sedang ke arah tanpa kertas dan tidak lama lagi tanpa tunai. Pendigitalan sedang berlaku dan Kecerdasan Buatan (AI) menyumbang ke arah meningkatkan tahap kerja dan urus niaga.”

Dr Mahathir berkata ia adalah mengecewakan untuk menunggu, walaupun baginya.

“Bagaimanapun, kita perlu menunggu. Jentera kerajaan telah dibersihkan dan cepat menyesuaikan dengan cara bekerja yang baharu. Malah, menteri-menteri menyesuaikan diri untuk berada dalam kerajaan dan bukan pembangkang.”

“Kami tidak mencuri wang atau mendapatkan pinjaman supaya mempunyai wang untuk memberi rasuah. Kami berbelanja apa yang kami ada. Apa yang kami ada adalah wang yang berkurangan. Kami tidak mampu untuk memberi wang kepada rakyat. Cara kami ialah meningkatkan atau mewujudkan pekerjaan. Tetapi rakyat perlu bersedia untuk menerima pekerjaan atau peluang perniagaan yang diwujudkan,” katanya.

- Bernama