Malaysiakini
BERITA

Lepas dinamakan dalam rakaman audio, Azwan gesa Latheefa letak jawatan

Diterbitkan

Senator BN Khairul Azwan Harun menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya meletakkan jawatan susulan pendedahan rakaman audio, yang salah satunya menyebut namanya.

Menyifatkan tindakan SPRM itu sebagai "dangkal dan menjijikkan", Azwan berkata Latheefa perlu meletakkan jawatan untuk menjaga integriti dan imej SPRM.

"Malah, tanpa prejudis terhadap kenyataan saya di perenggan ini, saya dengan ini menyeru semua ahli-ahli parlimen untuk merujuk Latheefa Koya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kerana telah merosakkan kredibiliti dan nama baik SPRM

"Saya juga telah mengarahkan peguam saya, Datuk M Reza Hassan, untuk menasihati saya berkenaan hak saya yang wujud di bawah undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Azwan disebutkan dalam perbualan yang dirakam pada 2016, antara Rosmah Mansor dengan Najib Razak, ketika mereka membincangkan tentang ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed.

"Saya benarkan Azwan membuat kenyataan. Kesannya dah baik dah," kata Najib dalam perbualan itu.

Latheefa memberitahu media sebelum ini bahawa Azwan merujuk kepada "Azwan Bro" tetapi tidak menyedari bahawa ia adalah nama samaran yang digunakan oleh senator itu.

Kenyataan Najib pada 27 Julai 2016 dipercayai merujuk kepada laporan polis yang dibuat Azwan hari sebelumnya, mendakwa wujud konspirasi oleh Abu Kassim dan pihak lain untuk menjatuhkan perdana menteri.

Azwan dalam kenyataannya hari ini juga menafikan sebarang penglibatan dalam pengurusan 1MDB dan SRC International, serta apa-apa konspirasi yang dikatakan oleh SPRM.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan