Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengalaman Dr M dapat selesaikan kontrovesi isu pendidikan'

Penasihat kumpulan masyarakat sivil, G25 Mohd Sheriff Mohd Kasim berpandangan bahawa Perdana Menteri Dr Mahahir Mohamad layak memangku jawatan menteri pendidikan buat sementara waktu.

Mohd Sheriff berkata, Dr Mahathir yang pernah menjadi menteri pendidikan sebelum ini berkebolehan dalam menyelesaikan kontroversi yang melibatkan isu pendidikan ketika ini.

“Saya rasa kita kena biarkan beliau (Dr Mahathir) pangku jawatan menteri pendidikan, beliau layak.

“Beliau (Dr Mahathir) juga pernah menjadi menteri pendidikan satu masa dahulu, saya rasa beliau berkebolehan untuk tangani isu kontroversi melibatkan pendidikan sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran dan perbincangan laporan Administration of Matters Pertaining to Islam in Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Pengenalan tiga muka surat pembelajaran Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat dikatakan merupakan antara sebab Dr Maszlee Malik dinasihatkan meletakkan jawatan sebagai menteri pendidikan

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau sendiri akan memangku jawatan menteri pendidikan yang dikosongkan Maszlee minggu lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, ia hanya buat sementara waktu.

Untuk rekod, selepas membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu, Dr Mahathir pada asalnya memegang portfolio berkenaan sebelum melepaskannya kerana ia dilihat bercanggah dengan manifesto PH, yang berjanji agar perdana menteri tidak boleh memegang portfolio lain dalam kabinet.

Sementara itu, Mohd Sheriff menyorot pendekatan Dr Mahathir yang menekankan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Menurutnya, ia adalah langkah yang memberangsangkan.

Katanya lagi, beliau juga yakin Dr Mahathir dapat mengembalikan keharmonian sesama kaum dalam menangani isu kontroversi pendidikan, termasuk berkaitan tulisan Jawi.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan menteri pendidikan pada 1974 sehingga 1977 sewaktu pentadbiran Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

Dalam isu pendidikan, beliau terpalit dengan kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Dasar yang diperkenalkan di zamannya itu kemudian dimansuhkan pada 2003 ketika Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan, susulan bantahan hebat, termasuk demonstrasi besar aktivis bahasa Melayu dan parti pembangkang.

Lihat Komen
ADS