Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafie: Kemasukan beramai-ramai ahli Umno ke Warisan petanda baik

PRK KIMANIS | Penyerataan beramai-ramai bekas ahli Umno serta ahli baru Warisan sepanjang tempoh 11 hari berkempen memberi petanda baik kepada parti itu menjelang hari mengundi Sabtu ini.

Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, berkata penyertaan kelompok itu membuktikan mereka sudah mula membuka mata dengan penjelasan serta penerangan yang diberikan berhubung hala tuju kerajaan negeri demi pembangunan Sabah.

"Kemungkinan, dulu cara kita menerangkan sesuatu maklumat tidak sampai sehingga ke akar umbi, tetapi sekarang mereka sudah faham dengan penjelasan daripada jentera parti selain perubahan dibawa kerajaan dilihat sendiri dalam tempoh setahun lebih memerintah.

"Ini petanda baik, kita yakin ahli baru ini akan memberi sokongan padu kepada parti dan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis santai rakyat bersama Ketua Menteri Sabah di Kampung Binsulok, Membakut, hari ini.

Pada majlis itu, hampir 600 orang menyertai Warisan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mahu jentera parti menyantuni semua penduduk di Parlimen Kimanis dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi menjelang hari mengundi.

"Jentera jangan berhenti, kena sampai kepada mereka untuk terus mendapatkan sokongan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata parti lawan sudah kehabisan modal untuk berkempen sehingga menyerang peribadi serta menyentuh isu kaum dan agama.

"Pelbagai tohmahan dan cacian terhadap parti (Warisan) tetapi kita tidak layan, kita berani menjawab... biarkan sahaja mereka," katanya.

Sebelum ini, lebih 500 ahli Umno menyertai Warisan.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Karim Bujang; dan Mohamad Alamin daripada BN.

- Bernama

Lihat Komen
ADS