Malaysiakini
BERITA

Karnival beli-belah antarabangsa KL serikan Ramadan tahun ini

Bernama

Diterbitkan

Karnival beli-belah antarabangsa pertama di Malaysia bersempena Ramadan - Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 - akan diadakan pada 8 hingga 17 Mei ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof berkata pada festival yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu, pengguna boleh mendapatkan produk jenama tempatan dan antarabangsa di satu tempat.

Beliau berkata festival itu juga akan meningkatkan rangkaian dan penglibatan dengan mewujudkan peluang perniagaan antara usahawan tempatan dan antarabangsa bukan sahaja di Malaysia tetapi pasaran serantau dan global.

“Festival Ramadan Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjadi unik dengan cara membawa perniagaan Muslim dan bukan Islam dari negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk datang ke Malaysia mempamer dan menjual produk mereka,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan prapelancaran festival itu di Kuala Lumpur malam tadi.

Mohd Redzuan berkata festival itu juga akan membantu usahawan Malaysia meneroka perniagaan halal memandangkan produk patuh syariah dicari oleh sekurang-kurangnya dua bilion penduduk dunia.

Beliau berkata festival itu bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan juga Malaysia sebagai hos Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2020.

Karnival membeli-belah 10 hari itu dijangka menarik orang ramai dari seluruh Malaysia dengan pelbagai aktiviti hiburan, solat tarawih setiap hari, demonstrasi masakan dan persembahan kebudayaan antarabangsa yang dirancang diadakan setiap hari pada karnival itu.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.