Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis keluar 201 permit ceramah, kempen di Kimanis

PRK KIMANIS | Sebanyak 201 permit bagi tujuan berkempen dan ceramah umum dikeluarkan kepada dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) sejak penamaan calon pada 4 Jan lepas sehingga semalam bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata daripada jumlah itu 95 permit dikeluarkan untuk kawasan Beaufort dan Papar (106).

"Setakat ini 23 laporan polis diterima berkaitan PRK Parlimen Kimanis atas pelbagai kesalahan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 16 sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Kota Kinabalu hari ini.

Omar berkata daripada jumlah itu, sembilan kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan.

Beliau berkata antaranya melibatkan fitnah, mendatangkan khianat, merosakkan poster dan sepanduk, kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran orang awam, provokasi dan kebencian.

"Polis menasihatkan kepada pihak yang terlibat dalam kempen PRK Parlimen Kimanis supaya mengawal emosi, hormati orang lain dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertujuan menghina bangsa lain," katanya.

Dalam pada itu, Omar berkata jumlah anggota polis yang ditempatkan di kawasan PRK Parlimen Kimanis ditambah daripada 792 kepada 859 anggota bagi meningkatkan kawalan sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pembuangan undi.

Hari pengundian PRK Parlimen Kimanis pada Sabtu ini dan membabitkan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Datuk Karim Bujang dan BN yang diwakili Datuk Mohamad Alamin.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS