PKR buat laporan BPR terhadap ahli Parlimen Jasin
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka hari ini berhubung perbuatan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof mencampuri urusan Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja Malaysia (KDRM).
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Melaka hari ini berhubung perbuatan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof mencampuri urusan Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja Malaysia (KDRM).
Laporan BPR tersebut dibuat oleh Ketua PKR Bahagian Jasin, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Ibu Pejabat BPR Melaka di Jalan Taming Sari kira-kira jam 12.15 tengahari tadi.
Shamsul yang juga Naib Ketua Pemuda PKR berkata, laporan itu dibuat di bawah Seksyen 15 Akta Anti Rasuah 1997 yang boleh membawa hukuman penjara dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Berdasarkan dua laporan akhbar The New Straits Times, kami mendapati BPR sudah mempunyai asas yang kuat untuk menyiasat Mohd Said," katanya selepas menyerahkan laporan kepada dua orang pegawai BPR Melaka di pejabat berkenaan.
Shamsul berkata, pegawai BPR terbabit berjanji akan menyiasat laporan tersebut.
Menurutnya, PKR bahagian Jasin sedia menyalurkan maklumat mengenai perkara itu jika diminta oleh BPR Melaka.
"PKR juga menggesa Mohd Said mengambil langkah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen seperti yang dilakukan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Datuk Shahrir Samad.
"Dari segi moral tindakan Mohd Said salah dan beliau perlu bertanggungjawab iaitu dengan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen," katanya lagi.
Beliau berkata, Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka juga perlu mengambil tindakan ke atas Mohd Said yang meduduki jawatankuasa Umno Melaka.
Laporan kepada BPR itu adalah tindakan susulan yang dibuat oleh PKR Jasin berhubung isu Mohd Said yang mengakui meminta KDRM "menutup sebelah mata" dalam kes import kayu bergergaji di Melaka.
Pada hari Jumaat lalu, Shamsul membuat laporan polis terhadap Mohd Said di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin meminta siasatan dibuat terhadap beliau.
Shamsul berkata, tindakan Mohd Said mengkritik Ketua Pengarah KDRM, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid di Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan beliau cuba memburuk-buruk pihak berkuasa, yang bukan urusan seorang ahli Parlimen.
Katanya, kesalahan yang dilakukan oleh Mohd Said lebih serius daripada yang dilakukan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenakan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan penyalahgunaan kuasa semasa memegang jawatan dalam kerajaan.

