Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konsep persyarikatan Malaysia terbukti penting sekarang - Dr M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan konsep Persyarikatan Malaysia yang mengintegrasikan sektor awam dan swasta dalam satu objektif sama, terbukti menjadi lebih penting pada masa sekarang dalam usaha mencapai matlamat besar negara ini.

Ketika berucap melancarkan Projek Demonstrasi Teknologi Mudah Alih Generasi Kelima (5G) di Langkawi, hari ini, Dr Mahathir berkata konsep yang beliau perkenalkan ketika pertama kali memegang jawatan sebagai perdana menteri, juga masih relevan pada masa kini.

“Oleh kerana kerjasama sedemikian, saya amat berbangga kerana dapat menyaksikan menerusi Projek Demonstrasi 5G ini kita dapat mengenal pasti 100 kes kegunaan yang mana pada hari ini, sebanyak 72 kes kegunaan 5G di 56 tapak secara langsung di enam negeri iaitu Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam persekitaran dunia serba pantas sekarang, Malaysia juga perlu sentiasa peka dan tangkas memandangkan perubahan merupakan satu kelaziman harian.

“Jika kita kekal lembap, kita tidak mungkin dapat bersaing dalam ekonomi global," katanya.

Menurut Dr Mahathir, sejak beliau melancarkan Pameran 5G Malaysia pada April 2019, semua persiapan membabitkan pelaksanaan 5G telah berjalan lancar dan sedia memulakan operasi secara komersial pada suku ketiga 2020.

“Ini menandakan permulaan penting dalam perjalanan negara memperkukuhkan ekonomi bagi meraih pertumbuhan mampan dan berkongsi kesejahteraan bersama rakyat selain memastikan dapat mencapai sasaran untuk menyediakan setiap rakyat menikmati kehidupan yang baik menjelang 2030," katanya.

Malah, tegas Perdana Menteri, Malaysia berdepan risiko untuk ketinggalan sekiranya negara ini tidak mengalami perubahan.

“Sejak kewujudan telefon pintar pada 2007 yang mengubah cara hidup kita, sehinggalah pertumbuhan minyak syal pada 2014 yang mencetuskan antara kejutan harga minyak tertinggi dalam sejarah serta membawa kepada kemunculan pelbagai jenama teknologi seperti Google, Apple, Facebook, Amazon, Netflix dan Huawei...persamaan semua perkara itu adalah teknologi,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata konvergens 5G dan pelbagai sektor industri berbeza seperti pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, pengangkutan pintar dan pelancongan, telah memberi peluang baharu kepada industri, masyarakat dan individu bagi memajukan cita-cita digital mereka serta memberi perkhidmatan terkini dan lebih baik.

Di negara membangun, sektor pembuatan terus berperanan sebagai saluran pendapatan daripada pertanian sehingga kepada peningkatan pendapatan dan taraf hidup, kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, keadaan sama turut berlaku di sini apabila sektor pembuatan memberi sumbangan utama bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global.

Sejak lima tahun lepas, industri pembuatan telah menyumbang sebanyak 22 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Oleh itu, apabila kita berdepan Revolusi Perindustrian Keempat, persoalan yang perlu kita tanya - siapakah kita? Bagaimana kita dapat memanfaatkan teknologi transformatif ini untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan?" kata beliau.

Dr Mahathir berkata negara-negara seperti China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah melancarkan 5G yang bukan sahaja akan menyediakan pengalaman yang lebih baik untuk aplikasi sedia ada, malah turut membabitkan kes-kes kegunaan seperti pembedahan jarak jauh yang tidak mungkin dilakukan oleh rangkaian mudah alih sebelum ini.

Merujuk data Euromonitor International, beliau berkata menjelang 2023, jumlah jualan runcit internet di Malaysia akan melonjak sehingga RM30.03 bilion yang mana RM18 bilion membabitkan pembelian menerusi telefon pintar.

Jumlah itu, kata Perdana Menteri, adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada unjuran jualan internet sebanyak RM11.41 bilion pada 2019.

“Kalangan perniagaan perlu memastikan teknologi itu dapat saling melengkapi tenaga kerja supaya lebih efektif, berpengetahuan dan produktif.

"Teknologi yang menggantikan tenaga manusia adalah bertentangan dengan aspirasi negara sepertimana digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.

Dr Mahathir berkata, Malaysia memiliki limpahan sumber serta prospek dan ia sememangnya bersedia untuk memulakan era pertumbuhan baharu.

“Selagi semua ini dalam jangkauan, kita berada dalam keadaan iaitu sama ada bangkit atau sebaliknya.

“Walaupun kesalinghubungan ekonomi tidak menjadikan kita kebal daripada cabaran ekonomi, apa yang kita usahakan secara individu dan bersama setiap hari untuk melangkaui sempadan itulah yang bakal menentukan sama ada kita kekal berdaya saing dan melangkah dengan lebih yakin," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS