Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ketua pengarah MEIO hantar representasi ke AG
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta telah menghantar representasi berkaitan kesnya kepada Peguam Negara.

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa pihaknya telah menghantar representasi bertulis itu pada 14 Jan lepas.

"Saya mohon tarikh bicara kes dalam bulan Ogos 2020," katanya semasa pengurusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima representasi tersebut pada 15 Jan lepas.

Shaharudin turut berkata pihaknya ingin memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen-dokumen lama antaranya daripada Arkib Negara, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Cawangan Khas) dan kerajaan British.

"Ia berkaitan dengan penubuhan, fungsi, peranan, dan kuasa Research Department melibatkan anak guam saya," katanya.

Mahkamah menetapkan 20 Feb untuk pengurusan kes itu.

Sementara itu, di luar mahkamah ketika ditanya pemberita tentang representasi tersebut, kedua-dua pihak enggan mendedahkan representasi itu berhubung apa.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April 2018 dan 9 Mei 2018 di Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS