Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kertas siasatan kes pengantunan seksual pengetua dirujuk ke Bukit Aman
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Kertas siasatan berhubung kes seorang pengetua yang didakwa terlibat dalam gangguan ‘pengantunan seksual’ melibatkan pelajar sekolah di negeri ini, akan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kes itu perlu dirujuk kepada bahagian berkenaan memandangkan ia melibatkan penjawat awam.

Beliau berkata kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu akan dihantar ke Bukit Aman, minggu ini.

"Dari sudut siasatan kita telah selesai, rakaman percakapan juga selesai dan sudah dihantar kepada forensik.

"Sekarang (kertas siasatan) akan dirujuk kepada D5 Bukit Aman terlebih dahulu sebelum apa pun juga keputusan nanti, baru kita akan rujuk kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Pada 12 Jan lepas, Kamarudin dilaporkan berkata pihaknya sudah mengambil keterangan tiga individu termasuk pengetua terbabit bagi membantu siasatan.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mengenai dakwaan seorang pengetua sekolah menengah yang mendapat anugerah pengetua cemerlang, menghantar mesej-mesej berunsur lucah kepada pelajar sekolah, sehingga mewujudkan kebimbangan dalam kalangan warganet.

Sementara itu, berhubung laporan prestasi IPK Johor tahun lepas, Kamarudin berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menahan seramai 17,501 orang yang merupakan tangkapan tertinggi daripada keseluruhan kontinjen negara.

"Jumlah rampasan dadah pula sebanyak 2,960 kilogram dengan keseluruhan nilai RM134.93 juta, manakala jumlah harta sitaan pula RM10.47 juta,” katanya.

Menurutnya, indeks kadar jenayah menurun kepada 9,870 kes tahun lepas berbanding 10,338 kes pada 2018.

Katanya, sepanjang tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah pula menahan seramai 13,074 orang dengan rampasan wang tunai berjumlah RM1.43 juta.

Kamarudin berkata pada tahun ini, pihaknya akan meneruskan pelbagai operasi bagi memastikan Johor sentiasa berada dalam keadaan selamat memandangkan negeri ini akan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) dan Tahun Melawat Johor.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan dapat mencapai 'response time" dalam tempoh lapan minit.

"Kita akan menitikberatkan aspek keselamatan sebagai fokus utama, selain itu operasi membanteras judi dalam talian menerusi Op Dadu, warga asing menerusi Op Noda, gangsterisme, rokok dan arak juga akan ditingkatkan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS