Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri, semalam.

Menurut sumber, penahanan itu dibuat pada jam 4.30 petang di Pejabat Kemas Kelantan.

"Tangkapan pegawai kanan yang berumur 45 tahun itu dibuat berdasarkan aduan yang diperoleh membabitkan penglibatan beliau di dalam tuntutan palsu bagi program atau kursus anjuran pihak Kemas negeri Kelantan.

"Tuntutan yang disyaki mengandungi butiran matan palsu melibatkan pembekalan makan minum dan peralatan kursus atau program sedangkan pembekalan tidak disediakan sepenuhnya.

"Selain itu, tuntutan penyelenggaraan kenderaan jabatan yang disyaki mengandungi butiran matan palsu kerana dipercayai tiada penyelenggaraan dilaksanakan dan tuntutan bagi program sedangkan program tidak dijalankan dengan sempurna," kata sumber tersebut kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, siasatan juga turut melibatkan kes tuntutan palsu bagi program atau kursus bersama masyarakat di sebelas (11) parlimen seluruh Kelantan yang dipercayai berlaku pada tahun lepas dan pelantikan saudara mara sebagai pembekal perolehan dan perkhidmatan dengan Kemas negeri Kelantan.

Sementara itu Pengarah SPRM Kelantan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Mahkamah membenarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 24 Januari.

"Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS