Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Johor lupus 2,828 kotak rokok seludup bernilai RM17 juta
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 5:10 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Polis Johor, hari ini, melupuskan 2,828 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM17 juta, yang sudah diselesaikan dalam perundangan mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail berkata kesemua rokok berkenaan dirampas dalam Op Asap yang dijalankan pasukan Bahagian Perisikan Dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman bersama Pasukan VAT 69 di Felda Tenggaroh 2 dan Felda Tenggaroh 4, di Mersing, pada 10 Okt 2018.

Beliau berkata pertuduhan terhadap kes penyeludupan rokok itu dilakukan di Mahkamah Majistret Mersing pada 24 Okt 2018 yang menyaksikan anggota sindiket 'Geng Zali' terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan 16 lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara antara tiga dan lima bulan.

"Kesemua barang rampasan berkaitan kes rokok ini diarahkan untuk dilupuskan secara musnah dan tanam sebagaimana arahan mahkamah di bawah Seksyen 407a Kanun Prosedur Jenayah," katanya kepada pemberita di tapak pelupusan Jalan Meta, di Mersing, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Md Yusof Ahmad dan Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing.

Shafie berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 2001.

- Bernama

Lihat Komen
ADS