Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersatu benarkan kempen di kedai mamak, tak boleh taja umrah, golf

Bersatu membenarkan calon yang bertanding dalam pemilihan parti itu untuk berkempen di kedai mamak sambil "minum teh tarik".

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Syed Hamid Albar, berkata ia dibenarkan selagi tidak berlaku rasuah ataupun politik wang.

"Individu nak berkempen, nak bawa (kempen) di kedai mamak (minum) teh tarik.

"Saya fikir yang kita boleh berkempen sejajar dengan amalan demokrasi, tapi jangan amalkan kemewahan, rasuah dan politik wang," katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun Syed Hamid berkata calon yang bertanding tidak dibenarkan menaja apa juga perjalanan pelancongan, rombongan termasuk membiayai umrah dan bermain golf kepada ahli.

"Masa pemilihan tak boleh bayar umrah, tak boleh 'holiday', melancong seperti pergi Bangkok, Manila, Medan atau mana-mana destinasi popular.

"Main golf pun tak boleh. Main golf ini, anda memang datang dengan sengaja dan ada pemberian hadiah. Tak boleh ada pemberian hadiah," katanya.

Parti itu juga tidak menetapkan perbelanjaan kempen yang khusus bagi calon bertanding khususnya bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPT).

Paling penting katanya, perbelanjaan yang digunakan calon bukan tujuan untuk merasuah, politik wang ataupun membeli undi.

Bersatu akan mengadakan perhimpunan agung selama empat hari bermula 25 Jun ini dan turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan itu.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Jan, disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

Sebanyak 189 bahagian layak bersidang, manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah seramai 363,167 orang.

Persidangan bahagian pula akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), iaitu barisan kepemimpinan parti peringkat pusat.

Persidangan Srikandi dan Armada Bahagian pula perlu diadakan sebelum persidangan bahagian dan ia akan memilih Jawatankuasa Srikandi dan Jawatankuasa Armada pusat.

Jelas Syed Hamid, jika terdapat aduan berhubung salah laku oleh calon yang bertanding termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, pihaknya akan menilai kembali pencalonan individu berkenaan.

Katanya itu penting bagi melahirkan politik sihat selaras dengan amalan demokrasi yang diamalkan.

Mengulas mengenai pembabitan bekas ahli Umno dalam pemilihan itu nanti, Syed Hamid berkata mereka layak menyertai jika tersenarai.

Lihat Komen
ADS