Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Op Selamat: 60 kematian di jalan raya dalam empat hari

Sebanyak 57 nahas jalan raya yang mengakibatkan kematian direkodkan sejak Op Selamat 16/2020 sempena perayaan Tahun Baru Cina dilancarkan Sabtu lepas sehingga semalam, mencatatkan jumlah 60 kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman  Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, yang menjangkau sehingga 40 kematian.

Menurutnya Selangor merekodkan jumlah nahas yang mengakibatkan kematian paling tinggi iaitu 16 kes, diikuti Johor (11 kes) dan Kedah (9 kes).

“Sebanyak 6,689 nahas jalan raya direkodkan dalam tempoh empat hari dengan Selangor menyumbang jumlah tertinggi iaitu 2,119 kes manakala Johor (1,070) dan Kuala Lumpur (763),” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Dalam pada itu katanya, sejumlah 96,477 saman dikeluarkan dan daripada jumlah itu, 59,552 saman atau 61.7 peratus membabitkan enam kesalahan utama iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Jan sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Feb ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS