Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari 73: Najib tak pasti ada tandatangan dokumen arah tutup 3 akaun AmBank

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-73 hari ini.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.


Terima kasih kerana mengikuti liputan langsung hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak. Kemas kini media sosial oleh Ewe Linq Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan edisi Bahasa Inggeris dengan kadar serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


3.35 petang: Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung semula pada 3 Februari ini.

DPP V Sithambaram akan memeriksa balas Najib selama kira-kira sejam lagi, sebelum pasukan pembelaan mengadakan pemeriksaan semula terhadap anak guam mereka.


3.15 petang: Najib berkata dia mahu tiga akaunnya di AmBank ditutup, tetapi tidak boleh mengesahkan sama ada dia ada menandatangani dokumen yang mengarahkan penutupan itu.

Najib berkata dia ada memberitahu setiausaha sulit kanannya ketika itu, Azlin Alias, bahawa dia mahu menutup tiga akaun tersebut pada 2015.

Bagaimanapun dia memberitahu mahkamah yang dia tidak dapat mengesahkan sama ada menurunkan tandatangan pada dokumen yang mengarahkan penutupan akaun berakhir dengan nombor berakhir 880, 898 dan 906.

Bekas perdana menteri berkata demikian ketika ditunjukkan dokumen asal perkara itu.

"Saya mahu akaun ditutup, tetapi tak boleh pastikan bahawa saya tandatanganinya (dokumen itu)," katanya.

Najib juga berkata dia tidak ingat sama ada Azlin pernah membawa dokumen itu kepadanya untuk ditandatangan, tetapi setuju bahawa kemungkinan itu memang ada.


3.10 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak mungkin memangil bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan.

Dia berkata demikian ketika ditanya DPP V Sithambaram berhubung kemungkinan untuk memanggil Apandi bagi memberi keterangan berkenaan sidang media yang dibuatnya yang membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes SRC, pada 2016.

Sithambaram: Adakah anda akan panggil Apandi sebagai saksi dalam kes ini? Kerana bukti kekal sebagai identifikasi.

Najib: Kami akan menimbang perkara itu.


3.08 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak setuju bahawa bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali membuat keputusan salah dengan membersihkannya daripada salah laku berkaitan SRC.

Najib juga tidak setuju bahawa keputusan Apandi itu berkaitan dengan kemasukannya dalam lembaga pengarah Tabung Haji.

Beliau membuat penafian itu ketika pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram.

Pada 26 Januari 2016, Apandi dalam sidang media mengumumkan Najib bersih daripada sebarang kesalahan berkaitan isu SRC.

Kemudian laporan mendedahkan dia menjadi anggota lembaga pengarah Tabung Haji pada tahun sama.

Dia kemudian letak jawatan pada 4 Jun 2018.

Apandi Ali pada sidang media 26 Januari 2016.


2.50 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk menetapkan 10 Februari ini bagi pakar tulisan Australia menyemak tandatangan Najib di 13 dokumen SRC International yang dipertikai.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 3 Februari untuk tujuan itu.

Bagaimanapun tarikh baru ditetapkan selepas peguam Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah bahawa pakar itu hanya boleh datang ke Malaysia pada 10 Februari.

"Saya tidak melihat terlalu banyak penangguhan (terhadap perbicaraan). Pemeriksaan hanya ambil masa dua hari dan kemudian boleh beritahu Yang Arif bila laporan akhir boleh disiapkan," katanya.

DPP V Sithambaram kemudian berkata selain pemeriksaan tandatangan, penyediaan laporan oleh pakar itu satu hal lain pula, dan mungkin melambatkan perbicaraan yang sedang berlangsung.

"Perlu diserahkan kepada kami (berkenaan laporan pakar berkenaan analisis tandatangan yang dipertikai). Laporan perlu siap agak cepat. Jika tidak ia boleh menyebabkan perbicaraan melencong (off-course)," katanya.

Hakim kemudian menetapkan 10 Februari untuk pakar tersebut menganalisis tandatangan tersebut, dan menambah laporan perlu disediakan dengan cepat sebaik selepas analisis itu.


2.46 petang: Perbicaraan bersambung selepas rehat tengah hari.


12.52 tengah hari: Perbicaraan berhenti untuk rehat tengah hari, dan dijangka bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


12.17 tengah hari: Najib Razak dalam keterangannya tidak dapat memberikan sebab mengapa mana-mana pihak akan memindahkan RM42 juta ke sebuah akaun bank.

Ketika pemeriksaan balas, DPP V Sithambaram bertanya Najib mengapa pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Shamsul Anwar Sulaiman tidak dimaklumkan tentang pemindahan daripada IPSB ke akaun Najib, yang merupakan sebuah akaun yang tidak diketahui maklumatnya (undisclosed account).

IPSB didakwa terlibat dalam transaksi berjumlah RM42 juta ke akaun Najib antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Sithambaram juga bertanya Najib mengapa ketia setiausaha sulit kanannya ketika itu, Azlin Alias tidak memberitahu bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling tentang pemilik akaun bank tersebut.

Sebelum ini Ung dalam keterangannya berkata dia terlibat dalam memberitahu Shamsul untuk memindahkan jumlah itu.

Sithambaram: Mengapa mana-mana orang akan letakkan RM42 juta dalam satu akaun?

Najib: Saya tidak tahu. Saya tak pernah luluskan (pemindahan) wang.


12.05 tengah hari: Najib Razak tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa semua dana yang disalurkan ke lima akaun Ambank miliknya, antara 2011 hingga 2015, adalah untuk manfaat peribadinya.

Bekas perdana menteri berkata ia digunakan membantu golongan miskin.

DPP V Sithambaram kemudian berkata kepada Najib bahawa perbelanjaan daripada akaun itu untuk BN, Umno dan tujuan sosial lain telah memberi manfaat secara peribadi kepada kerjaya politiknya.

"Ia untuk kesinambungan kerajaan pada masa itu," jawab Najib.

Dia juga tidak setuju dengan cadangan bahawa dana yang dikatakan daripada derma keluarga diraja Arab Saudi itu digunakan secara tidak langsung untuk membeli sokongan.

Sithambaram: Saya katakan perbelanjaan daripada apa yang dikatakan derma Arab ini membolehkan anda secara tidak langsung membeli undi daripada pengundi dan penerima dana itu.

Najib: Saya tak setuju.


11.50 pagi: Najib Razak setuju bahawa dia memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika siasatan badan itu, bahawa dia menandatangani satu dokumen bank membenarkan pemindahan RM27 juta ke akaunnya.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Sithambaram bertanya bekas perdana menteri berhubung keterangan yang diberikannya kepada SPRM, berkenaan dia menandatangani eksibit P277, iaitu arahan pemindahan tersebut.

Bagaimanapun ketika perbicaraan, Najib berkata dia tidak menandatanganinya kerana pada Disember 2014 dia bemain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii.

Sithambaram: Ketika keterangan kepada SPRM diambil, anda setuju bahawa anda sign P277?

Najib: Pada masa itu, ya.

Sithambaram kemudian berkata Najib sebenarnya boleh menghantar arahan transaksi yang ditandatanganinya menerusi emel dari Hawaii, kepada pemegang mandat akaun Nik Faisal Ariff Kamil, agar AmBank meneruskan transaksi itu.

Najib tidak setuju dengan kenyataan itu.


11.45 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak dalam keterangannya, berkata dia tidak pernah membuat aduan kepada AmBank berkenaan bagaimana lima akaunnya dikendalikan bukan berdasarkan arahannya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan DPP V Sithambaram berkenaan akaun yang berakhir dengan 694, 481, 880, 906 dan 898. Akaun 694 dan 481 beroperasi antara 2011 hingga 2013, manakala tiga lagi dibuka pada 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Najib memberitahu mahkamah bahawa sebab dia tidak membuat aduan ketika akaun-akaun itu masih beroperasi adalah kerana dia ketika itu tidak sedar berlakunya sebarang salah laku.

"Saya tidak complain kerana saya tak tahu apa yang berlaku," katanya.


11.28 pagi: Perbicaraan bersambung.


10.55 pagi: Perbicaraan berhenti seketika.


10.23 pagi: DPP V Sithambaran ketika pemeriksaan balas dengan Najib Razak membangkitkan tentang tujuan "pinjaman" yang dinyatakan untuk pemindahan wang ke akaunnya, di sebalik dakwaan bahawa wang itu sebahagian daripada derma yang diterima keluarga diraja Saudi.

Dia bertanya Najib berkenaan tiga peringkat pemindahan ke akaun 880 antara 23 Jun hingga 19 Dis 2014.

Antara dokumen bank yang dirujuk Sithambaram kepada Najib ialah pemindahan £995,000 (RM5,360,065) daripada Vista Equity International Partners Limited Seychelles, ke akaun 880 Najib pada 10 Disember 2014.

Dokumen itu menyatakan tujuan pemindahan itu adalah untuk pinjaman.

Sitham: Saya katakan bahawa pinjaman ini (tujuan pemindahan seperti yang dinyatakan), dan hakikat bahawa anda (dakwa) dapat derma, sebab itu ada percanggahan ini, dan cara bagaimana dana ini masuk ke akaun anda.

Najib: Tak setuju.


10.06 pagi: Mengapa keluarga diraja Arab Saudi memberi sumbangan yang tak seberapa, iaitu £2,216.01 (RM11,567.57), kepada Najib, soal pendakwaan.

DPP V Sithambaram membangkitkan persoalan itu ketika pemeriksaan balas dengan bekas perdana menteri.

Dia merujuk pemindahan wang daripada Vista Equity International Partners Limited, Seychelles pada 24 Nov 2014, yang masuk ke akaun bank "880" Najib dua hari kemudian.

Pemindahan ini termasuk dalam siri transaksi ke akaun 880 Najib pada 23 Jun hingga 19 Dis 2014.

Peguam Najib bergantung kepada hujah bahawa Najib merasakan wang RM42 juta, dikatakan milik SRC, yang masuk ke akaunnya adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi berjumlah RM2.6 bilion.

Ketika Sithambaram merujuk penyata bank berkenaan pemindahan itu kepada Najib, bekas perdana menteri mengesahkan wang itu memang masuk ke akaunnya.

"Ini jumlah tidak seberapa daripada keluarga diraja Saudi," kata Sithambaram.

Dia kemudian bertanya Najib jika ada menerima sumbangan daripada keluarga diraja itu, dan bekas perdana menteri menjawab ya.

V Sithambaram


9.55 pagi: Pihak pendakwaan mengasak Najib berkenaan kemampuannya mengenalpasti tandatangan sendiri dalam dokumen berkaitan SRC International yang dipertikai.

Ketika pemeriksaan balas, pendakwaan membangkitkan semula dua dokumen perbankan yang didakwa ditandatanganinya pada 2013, berkenaan arahan menyalurkan semula sumbangan dana, didakwa daripada keluarga diraja Arab Saudi, kembali kepada pihak itu.

Untuk rekod, dua dokumen itu, termasuk satu dokumen yang dihantar kepada pengarah urusan Ambank ketika itu Cheah Tek Kuang, adalah antara dokumen yang menjadi pertikaian pasukan pembelaan berkenaan tandatangan Najib.

Sebelum ini Najib memberitahu mahkamah bahawa dia meragui ada menandatangani dokumen tersebut, dan meminta seorang saksi pakar memeriksanya.

Bagaimanapun hari ini Najib berkata dia boleh mengenal pasti dokumen itu berdasarkan kandungannya, dan ingat pernah menurunkan tandatangannya.

Keterangan itu tidak diterima baik DPP V Sithambaram, yang kemudian membangkitkan kemampuannya dalam mengenal pasti dokumen dan tandatangannya.

Sitham: Kerana ia salinan, anda kata tak boleh sahkan tandatangan, dan hari ini anda sahkan.

Najib: Ya. Ia bergantung kepada kandunganya.

Sitham: Kandungan apa?

Najib: Kerana saya ingat ini adalah arahan saya.

Sitham: Jadi ketika Ismee (bekas pengerusi SRC Ismee Ismail) memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak atas arahan pemegang saham untuk mengadakan mesyuarat lembaga pengarah, anda fikir sebaliknya?

Najib: Ya.

Sitham: Malah minit pemegang saham (arahan) datang sebelum mesyuarat?

Najib: Ia tidak sepatutnya.

Sitham: Ia tidak sepatutnya. Tetapi minit datang sebelum itu.

Najib: Itulah yang saya pertikai.

Sitham: Saya kata bahawa anda selektif dalam mengenal pasti dokumen untuk pembelaan diri anda.

Najib: Saya tak setuju.

Antara dokumen lain yang dipertikai Najib termasuk minit pemegang saham SRC, yang memiliki tandatangannya.

Minit ini didakwa menjadi arahan untuk lembaga pengarah SRC membuat resolusi, termasuk perkara berkaitan pelaburan syarikat di luar negara.


9.45 pagi: Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa sukar untuk pasukan pembelaan mendapatkan anggota diraja Arab Saudi untuk memberi keterangan berkenaan sumbangan dana RM2.6 bilion, yang menurutnya diterima daripada mereka secara bertahap antara 2011 hingga 2014.

Bekas perdana menteri berkata demikian ketika ditanya DPP V Sithambaram jika ada anggota keluarga diraja itu akan dipanggil ke mahkamah untuk menyokong dakwaan Najib.

Sitham: Saya katakan pada anda, sejak dari awal, anda tahu bahawa wang ini bukan datang daripada keluarga diraja (Saudi).

Najib: Saya tak setuju. Kerana sebahagian wang itu datang secara terus daripada Kementerian Kewangan Saudi.

Sitham: Malangnya, tiada anggota keluarga diraja akan datang mahkamah untuk sahkannya, benar?

Najib: Kami tidak, well, sukar untuk membuatkan mereka datang ke mahkamah.

Sitham: Saya juga kata berguna (convenient) kepada anda untuk tidak panggil mereka ke mahkamah untuk sahkan cerita anda.

Najib: Saya tak setuju.


9.40 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata bukanlah langkah yang wajar (prudent) untuknya memeriksa sendiri dengan keluarga diraja Arab saudi berkenaan sumbangan dana mereka.

Najib berkata, ini kerana ahli perniagaan Low Taek Jho telah dilantik oleh keluarga diraja itu sebagai perantara untuk perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika diperiksa balas oleh DPP V Sithambaram berkenaan empat sumbangan berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa diterima daripada bekas raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Alsaud, antara 2011 hingga 2014.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Najib tidak memeriksa sama ada AS$620 juta (kira-kira RM2.2 bilion) yang dikatakannya telah dipulangkan semula kepada keluarga itu pada 2013, benar-benar sampai kepada mereka.

Jho Low


9.25 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa pakar tulisan dari Australia mungkin tidak dapat datang minggu depan untuk memeriksa ketulenan tandatangan Najib Razak pada 13 dokumen penting SRC International.

Peguam bekas perdana menteri, Harvinderjit Singh memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa ini kerana masa terlalu singkat untuknya datang ke Malaysia pada tempoh itu.

Semalam, Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk pemeriksaan oleh pakar tersebut tetapi berkata ia mesti dibuat sebelum perbicaraan bersambung pada 3 Februari - bermakna minggu depan.

"Yang Arif arahkan pemeriksaan dibuat minggu depan, tetapi kami sedang tunggu pengesahan.

"Terlalu suntuk untuknya datang minggu depan, tetapi kami akan cuba mengesahkan dengan Yang Arif lepas rehat tengah hari (hari ini)," katanya.

Harvinderjit berkata bergantung kepada pakar tersebut, pemeriksaan tandatangan boleh dibuat dua minggu depan.

Nazlan kemudian mengambil maklum perkara itu dan menunggu pengesahan pasukan pembelaan selepas rehat tengah hari nanti.

Harvinderjit Singh


9.19 pagi: Perbicaraan bermula.


Pasukan pendakwaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap Najib hari ini.

Ketika perbicaraan semalam, DPP Sithambaram membayangkan yang dia mungkin sempat menyelesaikannya.

Hari ini masuk hari kesepuluh Sithambaran menyoal bekas perdana menteri, susulan bermulanya peringkat bela diri pada Disember lalu.

Semalam, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Najib untuk membolehkan pakar tulisan dari Australia memeriksa ketulenan tandatangannya pada 13 dokumen utama SRC International, yang sebelum ini diserahkan sebagai eksibit kepada mahkamah.

Semalam juga, Najib dalam keterangannya berkata dia menghalang bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah daripada ke Switzerland untuk mendapatkan semula dana SRC yang dibeku berjumlah RM3.6 bilion, kerana Husni tidak menyediakan kertas kabinet untuk perkara itu.

Sesi pemeriksaan antara Sithambaram dan Najib juga menjadi panas apabila DPP itu berkata dapat mengesahkan tandatangannya menerusi salinan surat berkenaan mandat berkaitan salah satu akaun banknya, tetapi tidak boleh menentukan ketulenan tandatangan di 13 dokumen SRC.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS