Putrajaya mengambil pendirian sama dengan kerajaan negeri Sabah dalam membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sementara (PSS).

"Memandangkan keputusan pelaksanaan PSS ini merupakan persetujuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga

Asing di Sabah (JKPWAS-Induk), maka pihak kementerian selaku penyelaras bersama mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan PSS," kata kenyataan media Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Bagaimanapun, KDN menekankan bahawa usaha penyelesaian mengenai isu pelarian di Sabah tetap menjadi komitmen kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Kata KDN, usaha itu mesti dilaksanakan secara berterusan dengan lebih teliti dan berhati-hati tanpa menjejaskan hak-hak

warganegara, kepentingan dan keselamatan rakyat di negeri Sabah.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengumumkan keputusan untuk membatalkan PSS, yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 1 Jun.

PSS direncana dikeluarkan kepada pendatang untuk menggantikan tiga dokumen sedia ada, iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Keputusan kerajaan negeri itu hadir selepas kekalahan Warisan dalam pilihan raya kecil Kimanis Sabtu lepas.

PSS dilihat sebagai faktor utama kekalahan parti kerajaan negeri itu, selepas BN memainkan isu berkenaan sepanjang kempennya.