Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki didenda RM45,000 ceroboh Hutan Simpan Endau-Rompin

Seorang lelaki warga Kemboja didenda RM45,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas tuduhan mendiami Hutan Simpan Endau-Rompin secara haram, bulan lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Bol Cheat, 43, menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Komparment 1 Hutan Simpan Taman Negeri, Mukim Keratong dan Endau dalam daerah Rompin, pada 3 pagi, 29 Dis lepas, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 32(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 32(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh menerusi jurubahasa Kemboja merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan atas alasan sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kecil di kampung halaman.

Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Afidatul Azwa Kamarulanuar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh berisiko mendatangkan kerugian kepada negara.

"Kawasan yang diceroboh tertuduh adalah hutan simpan dan larangan individu memasuki kawasan itu dibuat bagi melindungi hasil hutan yang ada di dalamnya," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditemui di tepi sungai kerana dipercayai terjatuh semasa melarikan diri selepas tapak perkhemahannya di hutan itu diserbu kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Tertuduh gagal untuk mengemukakan dokumen kebenaran berada dalam Hutan Simpan Kekal walaupun dipercayai telah berada di situ untuk tempoh tertentu berdasarkan penemuan pelbagai alatan perkhemahan dalam hutan seperti bekalan makanan, parang, kapak dan gergaji.

-Bernama

Lihat Komen
ADS